MALAYSIA merekodkan 36 kes kematian Covid-19 setakat tengah malam tadi, yang mana kesemuanya merupakan kes tertunggak, kata Kementerian Kesihatan.
Negara menyaksikan trend menurun dalam kes kematian sejak beberapa hari lalu. Pada 19 Oktober, ia merekodkan jumlah kematian terendah sejak Mei iaitu 19 kematian.
Menurut data GitHub setakat tengah malam tadi, tujuh kematian diklasifikasikan sebagai kematian luar hospital.
Angka kematian harian ialah jumlah yang dilaporkan pada hari itu ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan Covid-19 selepas siasatan.
Sarawak terus merekodkan kes kematian tertinggi dengan 12 kematian, diikuti Pulau Pinang (5), Terengganu (4), Kedah (3), Johor, Kelantan, Negeri Sembilan Sabah dan Kuala Lumpur (2), Selangor dan Perak (1).
Melaka, Pahang, Perlis, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian.
Angka kematian Covid-19 negara kini berjumlah 28,912.
Dalam dua minggu lalu, 21 kematian Covid-19 dilaporkan bagi setiap 1 juta orang, dengan kadar kematian semasa pada 1.1%.
Pada masa ini, terdapat 67,969 kes aktif di seluruh negara, yang mana 562 dirawat di unit rawatan rapi.
Sementara itu, 52,720 lagi menjalani kuarantin di rumah, 8,735 di pusat kuarantin, dan 5,952 dimasukkan ke hospital.
Sebanyak 2,374,761 orang telah pulih daripada Covid, termasuk 6,127 semalam. – 1 November, 2021.

Komen