KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 44 kematian Covid-19 setakat tengah malam tadi, dengan 4 daripadanya berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik kini meningkat kepada 28,876 kes, menurut KKM.
Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan semua kematian yang direkodkan setakat tengah malam tadi adalah kes tertunggak atau backlog.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Sarawak mencatat angka kematian tertinggi iaitu 10 kes, diikuti Johor dan Sabah masing-masing mencatat lima kes.

Setakat tengah malam tadi juga juga terdapat 69,153 kes aktif Covid-19 dalam negara.
Daripada jumlah itu, 570 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 293 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, sebanyak 6,715 kes sembuh dilaporkan.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang direkodkan di Malaysia setakat ini mencecah angka 2,466,663. – 31 Oktober, 2021.
Komen