JKN Perak tunggu laporan bedah siasat remaja meninggal dunia selepas divaksin


Seorang remaja lelaki ditemui dalam keadaan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri di rumahnya, sehari selepas mendapat suntikan vaksin dos kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober 2021.

JABATAN Kesihatan Negeri Perak masih menunggu laporan bedah siasat lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian seorang remaja lelaki sehari selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh pada 23 Oktober lepas.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata kesemua sampel tisu dalam badan remaja berusia 15 tahun itu telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana terdapat keputusan ujikaji yang belum diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bedah siasat yang dijalankan pada kira-kira pukul 3.40 petang hari kejadian (24 Oktober lepas) mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru (Spontaneous Bronchospasm).

“Beliau juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama. Pada 24 Oktober kira-kira pukul 9.30 pagi sehari selepas suntikan vaksin, beliau ditemui dalam keadaan sesak nafas sebelum tidak menyedarkan diri di rumah,” katanya.

Katanya, remaja itu kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.40 pagi. – Bernama, 31 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen