Wanita tidak perlukan parti politik sendiri, kata kumpulan masyarat sivil


Raevathi Supramaniam

Masyarakat sudah tertanam dengan pemikiran lelaki sebagai pemimpin semula jadi, yang akan menyukarkan parti khas untuk wanita berkembang maju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober 2021.

WANITA tidak perlukan parti politik sendiri, sebaliknya memerlukan penerimaan daripada masyarakat dan kerajaan terhadap kedudukan mereka agar boleh mengetengahkan isu yang dipinggirkan, kata kumpulan masyarakat sivil.

Wakil wanita di peringkat tertinggi parti politik dan pembuat keputusan adalah rendah, dan mereka mesti dibenarkan secara struktur dan sistemik naik ke jawatan ini, kata Rusni Tajari, pegawai kanan advokasi di Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).

“Kami memerlukan perwakilan lebih baik, dan mempunyai wanita yang berkaliber sebagai sebahagian daripada proses penggubalan dasar. Lagipun, isu wanita adalah isu semua orang, kerana kami merupakan separuh daripada populasi.”

Persatuan Bertindak Wanita (Awam) menambah yang pemimpin wanita Malaysia pada masa kini perlu memperjuangkan isu yang relevan dan berasaskan jantina, bukannya mengejar kehendak parti politik.

“Kami memerlukan pemimpin yang mengambil sikap dan lantang mengenai isu ini dan bukannya cenderung kepada kepentingan parti.”

Malaysia masih terlalu patriarki

Terdapat parti khusus wanita sepanjang sejarah, tetapi ia diakui sebagai fenomena yang sedikit dikaji.

Di Malaysia, Awam berkata masyarakat sudah tertanam dengan memikirkan lelaki sebagai pemimpin semula jadi, yang akan menyukarkan parti khas untuk wanita berkembang maju.

Menerusi tinjauan yang dilakukan pada Ogos bertajuk “Penyertaan Wanita dalam Politik Malaysia” yang dijalankan oleh Awam dan Cent-GPS dengan 118 responden wanita daripada 12 parti politik, 78% responden bersetuju orang ramai lebih cenderung mengundi calon lelaki berbanding wanita.

“Patriarki ini perlu dihapuskan untuk menyediakan Malaysia bagi kepimpinan wanita. Sementara itu, kita mesti sentiasa mencabar patriarki ini dan parti wanita adalah salah satu kaedah untuk berbuat demikian.”

Tetapi Pajari sedar mempunyai parti seperti itu sekarang boleh menjejaskan perwakilan wanita yang kecil di negara ini.

“Seperti dinyatakan, kita tidak melihat cukup tokoh politik wanita dipertingkatkan dan diperkukuhkan; terdapat banyak cabaran dalam sistem pilihan raya kita, yang merupakan satu lagi halangan untuk meningkatkan bilangan pemimpin politik wanita. Apatah lagi untuk mewujudkan parti wanita yang berdiri sendiri.”

Beliau berkata bagi wanita untuk berpeluang mendapat peluang yang adil dalam politik dan diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya perlu ada perubahan minda dalam masyarakat yang wanita bukan sahaja suri rumah tetapi juga pemimpin yang kuat.

Pada September tahun ini, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff berkata 38.2% daripada jawatan pembuat keputusan dalam peringkat kerajaan dipegang oleh wanita. 

Ia menjadi dasar persekutuan sejak 2004 untuk sekurang-kurangnya 30% daripada jawatan tersebut dalam sektor awam diisi oleh wanita. Bagaimanapun, sesetengah ahli Parlimen mahu peratusan ini dijadikan undang-undang.

Bagi pemimpin wanita dalam dunia perniagaan, laporan tahunan “Wanita dalam Perniagaan Grant Thornton” berkata pada Mac tahun ini bilangan wanita yang memegang jawatan kepimpinan kanan di Malaysia meningkat kepada 37% berbanding 31% tahun lepas.

Ini termasuk wanita dalam jawatan C-suite, seperti ketua pegawai kewangan, ketua pegawai pemasaran dan ketua pegawai maklumat. 

Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan dalam bilangan wanita yang memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO).

Di Parlimen, terdapat hanya 15% daripada 220 ahli Parlimen wanita. Semua parti politik utama juga kini dipimpin oleh lelaki. – 31 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen