PENGUSAHA perniagaan mahu Putrajaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) susulan pembukaan semula ekonomi dan negara telah mencapai sasaran vaksinasi, kata pemain industri.
Irwin Cheong dan Winnie Loo daripada Industries Unite berkata persatuan itu mahu kerajaan mengkaji semula keseluruhan SOP bagi membolehkan semua sektor perniagaan di negara ini beroperasi seperti biasa.
“Sebagai contoh dalam industri dandanan rambut di mana SOP menuntuut semua pendandan memakai sut PPE penuh (topeng muka, pelindung muka, sarung tangan, apron pakai buang hadapan) dan hanya membenarkan 2 jam bagi setiap pelanggan harus disemak semula.,” kata Winnie semasa sidang media yang diadakan Industries Unite.
“Selaras dengan SOP yang dikeluarkan kepada pengusaha kedai makan dan minum bahawa tiada had masa dikenakan terhadap pelanggan yang makan di mana-mana kedai. SOP ini juga memberi kesan kepada industri lain, terutamanya dalam sektor kecantikan, rawatan kuku dan pusat refleksologi,” katanya.
Industries Unite menyeru penubuhan pasukan bertindak antara kedua-dua kementerian yang terdiri daripada MKN/KKM & kementerian tertentu (KPDNHEP, MITI, MEDAC) dan pemimpin perdagangan persatuan itu untuk menyemak semula SOP tersebut
Winnie berkata, ini bertujuan mengaktifkan pematuhan SOP lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim menyeru supaya kecelaruan pemahaman dasar antara kerajaan persekutuan dan negeri dapat diatasi.
Jeremy memetik beberapa kejadian di mana penguatkuasa pihak berkuasa tempatan mengabaikan ketetapan yang dikeluarkan kerajaan persekutuan mengenai SOP Covid-19 sambil berkata negeri itu tidak terikat dengan dasar kerajaan persekutuan
“Di MBPJ, sebuah premis perniagaan berlesen diserbu pasukan penguatkuasa kerana memainkan muzik latar. Premis itu kemudiannya didenda RM25,000. Jenis perniagaan lain yang turut memainkan muzik di premis tetapi tiada seorang pun berdepan denda seberat itu,” katanya.
“Di Ampang Jaya, tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap sebuah restoran kerana menjadi tuan rumah kepada busker. Premis itu dikenakan denda seterusnya lesen perniagaan dibatalkan,” katanya.
Ketika disoal mengenai kesahihan tindakan penguatkuasaan itu, MPAJ berkata mereka tidak membenarkan aktiviti busking kerana bercanggah dengan arahan kerajaan persekutuan.
Beliau berkata dalam kedua-dua perkara itu, PPRB telah cuba berbincang dengan Adun untuk mendapatkan penyelesaian tetapi tidak berjaya.
“Kami menulis surat kepada penasihat undang-undang Selangor untuk mendapatkan pandangan undang-undangnya mengenai perkara itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.
“Melalui Industries Unite, PPRB dapat mengadakan pertemuan dengan MB Selangor, malangnya mesyuarat itu telah dijadualkan semula sebanyak 3 kali. Kami berharap MB Selangor dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan kami dan melihat ketidakkonsistenan yang sangat mahal ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu berkomunikasi dengan mereka di lapangan sama ada mereka mengikut ketetapan kerajaan atau tidak apabila SOP Covid-19 dikeluarkan. – 30 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen