KERAJAAN Perlis dijangka membentangkan Bajet 2022 yang lebih inklusif demi kepentingan rakyat pada Disember ini, kata Menteri Besar Azlan Man.
Beliau berkata kerajaan negeri akan membuat perancangan teliti bagi memastikan faedah dan manfaat daripada belanjawan berkenaan diterima semua pihak di samping mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri.
“Kita akan (berbincang) bersama dengan semua ketua-ketua jabatan kerajaan dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk melahirkan dan menjana idea baharu bagi membentangkan bajet kali ini,” katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.
Pada tahun lepas, Perlis telah meluluskan RM108.17 juta untuk Belanjawan 2021 yang dibentangkan juga pada Disember.
Terdahulu, Azlan merasmikan dan menyerahkan bakul makanan pada program agihan 1,000 bakul makanan peringkat negeri di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, dekat sini yang dianjurkan Persatuan Membantu OKU (PMOKUM) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Kerusi Roda Malaysia. – Bernama, 30 Oktober, 2021.
Komen