Polis Malaysia rasuah, sejauh mana ia membusuk?


Muzliza Mustafa

SPRM menahan 11 individu termasuk enam pegawai polis dan seorang konstabel, selebihnya orang awam yang bertindak sebagai orang tengah mengutip perlindungan daripada pengusaha premis judi dan rumah urut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mei, 2017.

SERAMAI 21 anggota polis ditahan di bawah undang-undang keselamatan yang digunakan untuk kesalahan ancaman kepada negara, manakala 11 lagi ditahan kerana disyaki rasuah. Semua tangkapan ini berlaku dalam seminggu.

Apa hendak jadi dengan Polis Diraja Malaysia? Dan soalan paling ketara ialah, sejauh mana, seluas dan sedalam mana rosaknya pasukan polis?

Polis nampaknya tidak tahu mengenai wang perlindungan dan tahap rasuah dalam pasukan itu, yang berlaku dalam satu negeri. Bagaimana dengan negeri lain? Adakah ia terlalu tertutup dan sangat rahsia sehinggakan pegawai tertinggi tidak sedar apa yang orang bawahan lakukan?

Lebih pun, bagaimana seorang koperal boleh ada RM800,000 di dalam rumahnya? Jika sebesar itu jumlahnya ditemui dalam rumah koperal, bayangkan berapa pula yang mungkin ditemui dalam rumah pegawai atasannya atau mereka yang sama pangkat dengannya.

Dan apa yang membuatkan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap rakan sepasukan sendiri? Ia memerlukan seseorang yang khusus untuk ditahan mengikut undang-undang itu, dan anggota polis bukan salah seorang daripadanya.

Bolehkah tindakan berprofil tinggi pada masa ini oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membendung kerosakan itu atau mereka yang terlibat akan hanya perlu meletak jawatan sendiri memandangkan perkara ini jarang sekali terdedah.

Rahsia yang semua orang tahu

Di Jasin, penduduk berkata ia rahsia terbuka seseorang itu dilindungi apabila membuka pusat judi dan rumah urut haram di kawasan yang penduduknya tidak lebih 100,000 orang.

“Sudah lebih 10 tahun saya tinggal di sini. Penduduk tahu. Bagaimana pusat judi boleh beroperasi? Jika saya nampak, pasti polis juga nampak,” kata peniaga pasar malam itu ketika ditemui di Jasin.

Seorang anggota polis yang enggan didedahkan namanya memberitahu The Malaysian Insight perkhidmatan wang perlindungan yang diberikan kepada pusat judi haram dan rumah urut sudah lama ada.

“Ia rahsia yang orang tahu. Semua orang tahu. Tetapi siapa yang hendak bersuara?,” kata anggota polis muda itu.

Tetapi dia mempertikaikan tindakan SPRM sekarang, berkata perkhidmatan perlindungan itu sudah lama berlaku. “Kenapa sekarang?,” soalnya.

SPRM melancarkan tindakan di Melaka minggu lalu, menahan dua ketua polis daerah, seorang inspektor dan dua orang awam. Pada minggu sama, SPRM mereman sembilan anggota polis dan tiga orang awam untuk membantu siasatan terhadap wang perlindungan.

Tidak menunjukkan kekayaan luar biasa

The Malaysian Insight difahamkan kedua-dua ketua polis daerah yang ditahan tinggal di banglo kerajaan di Kerubung dan Jasin bersama keluarga masing-masing.

Digambarkan sebagai pendiam tetapi peramah, kedua-dua ketua polis itu berjimat dan hidup dalam kemampuan mereka. Mereka juga sangat dihormati oleh anggota.

Dan tidak seperti kes berprofil tinggi membabitkan penjawat awam berpangkat tinggi di Sabah dan Kedah, tidak ada wang ringgit disimpan di rumah. Tiada juga kereta mewah berjenama dari Eropah diletakkan di laman rumah atau pun barang kemas, jam tangan atau beg tangan mewah ditemui.

Jadi ia sangat mengejutkan apabila mereka ditahan minggu lalu. Individu pertama ditahan ialah ketua polis daerah Melaka Tengah berusia 5 tahun yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam pasukan. Dia ditugaskan ke negeri itu, tiga tahun lalu.

Sebelum bertugas di Melaka, dia ialah ketua unit balistik di Jabatan Forensik Bukit Aman berpangkalan di Cheras.

Dalam tahanan itu, SPRM merampas RM79,000 di rumah banglo ketua polis Melaka Tengah. Ia sebahagian daripada jumlah RM645,000 yang dirampas dari akaun bank sembilan anggota yang ditahan.

Ketua polis daerah kedua yang ditahan bersia 46 tahun dan baru 10 bulan dipindahkan tugas dari Pahang.

Dalam serbuan susulan, SPRM menahan tiga lagi suspek, seorang daripadanya koperal dan merampas RM800,000 tunai yang disimpan dalam stor di rumahnya. Jumlah keseluruhan yang dirampas sekarang ialah RM1.44 juta.

Polis siasat anggota sendiri

Ketua Polis Melaka Abdul Jalil Hassan memberitahu The Malaysian Insight tujuh anggota polis yang ditahan SPRM sepanjang dua hari lalu mempunyai rekod bersih.

“Rekod mereka bersih. Tetapi siapa tahu, mungkin di depan saja sikap mereka baik. Walau apa pun, biar SPRM siasat dulu,” katanya.

Katanya, polis akan menjalankan inkuiri dalaman terhadap tuduhan yang dikenakan kepada anggotanya.

“Kami akan menjalankan siasatan sebaik saja mereka bebas dari reman,” kata Jalil, tetapi menafikan perbuatan mengambil wang perlindungan di dua daerah itu sudah lama berlaku.

“Tidak ia tak betul. Apa pun, kami akan melakukan siasatan,” katanya.

Daripada 11 yang ditahan reman, enam ialah pegawai polis dan seorang konstabel sementara yang lain ialah orang awam yang bertindak sebagai orang tengah dan bertanggungjawab mengutip wang perlindungan daripada pengusaha premis haram. – 21 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen