Jendela mampu bantu Malaysia bersaing dengan negara maju, kata penganalisis


Menurut laporan PBB, keseluruhan ekonomi dunia sedang ke arah pendigitalan. – Gambar Facebook, 30 Oktober, 2021.

PELAKSANAAN inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan peruntukan RM700 juta bagi meneruskan usaha ketersambungan digital, dilihat mampu membantu Malaysia bersaing dengan negara maju, seiring dengan pengembangan ekonomi dunia yang sedang berkembang ke arah pendigitalan.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program Jendela amat penting diteruskan dan dipergiatkan supaya negara tidak ketinggalan.

“Menurut laporan ekonomi digital dunia 2021 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keseluruhan ekonomi dunia sedang ke arah pendigitalan.

“Jika kita tidak meneruskan usaha pendigitalan ini, kita akan ketinggalan apatah lagi negara di Asia Pasifik masih jauh ketinggalan berbanding negara maju dari segi langganan telefon bimbit dan jalur lebar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pelaksanaan inisiatif Jendela akan dipergiatkan tahun depan dengan penyediaan RM700 juta bagi meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 30 sekolah terutama di luar bandar.

Ahmed Razman berkata, perkhidmatan 5G di negara Asia Pasifik hanya meliputi 11% daripada keseluruhan perkhidmatan berbanding 47% di negara Amerika Utara dan 46% di China.

“Bagi mencapai daya saing yang diharapkan dan menambah baik komunikasi serta jalinan di seluruh negara, pendigitalan harus menjadi fokus dalam perancangan negara tahun hadapan termasuk memanfaatkan setiap program yang akan dilaksanakan seperti Malaysia Digital Nomad dan Skim Geran Pendigitalan PKS (Perniagaan Kecil dan Sederhana),” katanya.

Selain peruntukan RM700 juta, kerajaan juga menambah RM30 juta lagi bagi kemudahan Internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada dan perluasan perkhidmatan 5G kepada 36% di kawasan kepadatan tinggi.

Jelas Ahmed Razman, beliau juga berharap kerajaan memastikan setiap tempat yang menerima liputan Internet turut menerima kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

“Pendek kata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas mesti seiring,” katanya. – Bernama, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen