63 kematian baharu Covid-19, kata KKM


Malaysia kini mempunyai 70,058 kes aktif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

MALAYSIA mencatat 63 kematian baharu berkaitan Covid-19 setakat tengah malam, semuanya adalah kes tertunggak, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Jumlah kematian semalam menurun sedikit berbanding hari sebelumnya iaitu 95 kematian.

Menurut data GitHub kementerian itu, daripada jumlah keseluruhan, 8 diklasifikasikan sebagai kematian sebelum tiba di hospital.

Jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara disebabkan Covid-19 kini 28,832.

Angka kematian harian adalah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari itu ditambah kes baharu yang disahkan oleh jabatan kesihatan berpunca daripada Covid-19 selepas siasatan dijalankan.

Sabah menduduki tangga teratas carta dengan 13 kematian, Sarawak (11), Selangor (8), Johor (7), Perak (7), Pulau Pinang (3), Kedah (3), Kelantan (3), Pahang (3), Terengganu (3) dan Melaka (2).

Negeri Sembilan, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tidak merekod sebarang kematian.

Malaysia kini mempunyai 70,058 kes aktif Covid-19.

Daripada jumlah itu, 567 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, 300 daripadanya memerlukan bantuan ventilator.

Sementara itu, 54,090 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah, 9,453 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 5,948 dimasukkan ke hospital.

Jumlah pesakit yang pulih kini 2.35 juta, 7,297 daripadanya dilaporkan semalam. – 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen