PERDANA Menteri Tonga Pohiva Tuinetoa hari ini memberi amaran yang penduduk Tongatapu, pulau utama negara itu berdepan kemungkinan perintah berkurung minggu depan selepas ia melaporkan kes pertama Covid-19.
Negara kecil Pasifik itu antara negara yang berjaya melepaskan diri daripada virus itu sebelum ini, dan kes jangkitan pertama dikesan dan pesakit tersebut sudah diasingkan selepas pulang ke Tonga selepas tiba dari New Zealand melalui penerbangan kemanusiaan.
“Sebab perintah berkurung tidak berlaku hujung minggu ini adalah saya dinasihatkan yang virus itu akan mengambil masa lebih tiga hari untuk bergejala pada seseorang sebelum ia mudah berjangkit,” kata Tuionetoa.
“Kita patut menggunakan masa ini untuk bersedia sekiranya lebih ramai disahkan mempunyai virus itu.”
Kebanyakan penduduk Tonga seramai 106,000 orang tinggal di Tongatapu, dan kurang satu pertiga sudah lengkap vaksinasi Covid-19.
Pegawai kesihatan berkata pesakit yang disahkan positif itu menerima suntikan kedua dos vaksin pada pertengahan Oktober.
Penerbangan kemanusiaan itu termasuklah ahli pasukan Olimpik Tonga yang tersadai di Christchurch sejak Sukan Olimpik Tokyo. Kesemua atlit sudah lengkap divaksin sebelum berlepas ke Olimpik.
Pegawai kesihatan New Zealand mengesahkan yang pesakit tersebut diuji negatif sebelum penerbangan meninggalkan Christchurch, yang kini mempunyai empat kes positif dari isi rumah sama. – AFP, 30 Oktober, 2021.
Komen