Peruntukan RM13 juta, 100 jawatan akan mantapkan siasatan D11, kata KPN


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM13 juta dan 100 jawatan baharu untuk D11 akan memantapkan lagi bahagian itu untuk melaksanakan siasatan kes jenayah seksual melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

PERUNTUKAN sebanyak RM13 juta dan 100 jawatan baharu untuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), dilihat mampu meningkatkan keberkesanan siasatan bahagian itu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata dengan peruntukan itu bahagian D11 di setiap kontinjen akan dapat diperkasakan, untuk meningkatkan mutu siasatan kes-kes membabitkan jenayah seksual melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata selain itu penambahan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

“Infrastruktur berkenaan akan memantapkan keupayaan PDRM dalam memastikan keselamatan di kedua-dua negeri itu, pos-pos yang bakal dibina akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kapasiti PDRM untuk memastikan kawalan keselamatan sempadan negara sentiasa di tahap terbaik.

“PDRM juga berterima kasih atas pengumuman peruntukan melibatkan kerja-kerja penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkara itu merupakan bukti komitmen kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli keluarga PDRM dalam menyediakan kuarters yang selesa dan selamat untuk didiami.

Selain itu, Acryl Sani berkata peningkatan elaun penugasan sukarelawan polis simpanan daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 bagi anggota, dapat memberi motivasi kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk menyertai pasukan sukarelawan itu untuk bersama-sama membanteras jenayah.

“PDRM akan memastikan peruntukan dan penambahbaikan yang diumum dalam Bajet 2022 dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan lagi kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya. – Bernama, 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen