Belanjawan tidak mampu tangani krisis kewangan yang bakal berlaku, kata Tony Pua


Raevathi Supramaniam

Tony Pua berkata perbelanjaan projek mega di bawah pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak menyebabkan hutang besar yang terkumpul oleh kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

BELANJAWAN 2022 adalah satu langkah ke arah yang betul tetapi gagal menetapkan strategi jelas untuk mengatasi krisis bajet yang akan berlaku dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, kata Tony Pua hari ini.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata, ini susulan peningkatan unjuran fiskal yang dianggarkan mencecah 13.9% daripada KDNK pada 2022 hingga 2024 serta peningkatan pembayaran dan caj tetap yang merupakan 45% daripada perbelanjaan mengurus di bawah Belanjawan 2022.

Bayaran dan caj tetap ialah emolumen, pencen, caj khidmat hutang, geran dan transkasi kepada kerajaan negeri.

“Secara ringkasnya pada masa depan, kerajaan akan mempunyai kurang dana untuk dibelanjakan, melabur dan mempengaruhi hala tuju ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul mendedahkan peruntukan RM332.1 bilion untuk Belanjawan 2022 awal petang ini.

Ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara setakat ini.

Belanjawan 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera”, bernilai RM332.1 bilion. Tiga teras belanjawan ialah memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Perbelanjaan mengurus menyumbang sebahagian besar perbelanjaan sebanyak RM234 bilion berbanding RM219.6 bilion pada 2021.

Pua berkata perbelanjaan kerajaan untuk projek mega di bawah pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak juga menyebabkan hutang besar yang terkumpul oleh kerajaan.

“Perbelanjaan luar bajet yang semberono untuk projek mega dan skandal di bawah pentadbiran Najib daripada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat apabila kerajaan memulakan pembayaran untuk hutang ini.”

 Caj perkhidmatan hutang Malaysia dijangka meningkat daripada 13.2% pada 2018 kepada 18.5% pada 2022. – 29 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen