BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan beliau mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika menjadi perdana menteri pada tahun 1981, namun tidak berbuat demikian kerana pihak berkuasa enggan bekerjasama dengannya.
Dalam temubual bersama Astro Awani, pemimpin berusia 96 tahun itu berkata beliau dinasihatkan oleh ramai pihak bahawa ISA diperlukan untuk keselamatan negara.
“Ketika saya menjadi PM pada 1981, saya bebaskan kira-kira 20 tahanan yang ditahan tanpa bicara kerana saya tidak setuju dengan idea penahanan tanpa bicara.
“Saya mahu mansuhkan undang-undang menekan, ISA contohnya tetapi ramai yang beritahu saya ISA masih diperlukan, cuma jangan salah gunakan kuasa.
“Ketika itu saya sedar bahawa jawatan saya bergantung kepada hal keselamatan dan saya mungkin tidak akan mendpat kerjasama penuh daripada pihak berkuasa sekiranya saya mansuhkan ISA,” dedah Dr Mahathir.
Walapun mahu memansuhkan akta berkenaan, ramai aktivis politik, pemimpin pelajar dan musuh politik ditahan di bawah ISA pada era pimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Bekas orang kanan Dr Mahathir, Anwar Ibrahim ditahan dua kali di bawah undang-undang itu.
ISA diwujudkan bagi mengekang komunis dan pemberontakan pada tahun 1960.
Insiden yang paling diingati adalah Operasi Lalang pada 1987 dan Reformasi pada 1999.
ISA dimansuhkan pada era pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri pada 2011, bagaimanapun ahli Parlimen Pekan itu memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) pada 2012.
Gesaan untuk memansuhkan Sosma memuncak pada pentadbiran Pakatan Harapan. Bagaimanapun kerajaan yang dipimpin Dr Mahathir tidak memansuhkan undang-undang itu ketika 22 bulan berkuasa. – 29 Oktober, 2021.
Komen