EKONOMI Malaysia dijangka berkembang 5.5% hingga 6.5% pada 2022 bersandarkan asas ekonomi yang kukuh dan struktur kepelbagaian, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022 kerajaan.
Laporan yang dikeluarkan sebelum pembentangan belanjawan negara itu berkata penyambungan pakej rangsangan ekonomi Covid-19 akan memberi kesan dan terus meningkatkan ekonomi.
“Namun, prospek yang menggalakkan adalah berdasarkan faktor lain termasuk kejayaan membendung wabak itu, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berkesan dan prospek ekonomi global yang kukuh,” katanya.
Untuk 2021, ekonomi domestik dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 3% hingga 4%.
Ekonomi berkembang sebanyak 7.1% pada separuh pertama tahun ini dan momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada separuh kedua 2021 - terutamanya pada suku keempat apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi pada kapasiti penuh.
“Trajektori pertumbuhan yang dijangka sejajar dengan kejayaan program vaksinasi di bawah PICK dan pelbagai pakej rangsangan serta bantuan untuk menyokong rakyat dan menggiatkan semula ekonomi,” katanya.
Dasar monetari kekal dalam mengimbangi kesan sekatan pergerakan di seluruh negara yang berlanjutan dan pada masa sama merangsang pemulihan ekonomi.
“Dasar ini juga memastikan tekanan inflasi kekal terurus. Kadar Dasar Semalaman (SSR) kekal stabil dalam tempoh tujuh bulan pertama 2021 masing-masing pada 1.75% dan 2.00%,” menurut laporan itu.
Disokong oleh kecairan dan modal penampan yang mencukupi, sektor perbankan kekal kukuh. Pasaran modal sebaliknya kekal berdaya tahan, disokong oleh kecairan domestik yang mencukupi dan persekitaran dasar yang menyokong.
Di peringkat global, ekonomi dunia dijangka pulih tahun ini dan sederhana pada 2022 selepas penguncupan mendadak 3.1% pada 2020 akibat Covid-19. – 29 Oktober, 2021.
Komen