Pakatan perlu nilai semula MoU dengan kerajaan, kata pemerhati


Raevathi Supramaniam Ravin Palanisamy

Hampir enam minggu selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersejarah dengan kerajaan, pembangkang sudah berada di bawah tekanan untuk memastikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengotakan janjinya. – Gambar Pejabat Peerdana Menteri, 29 Oktober, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) perlu menilai semula memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan kerajaan bagi menentukan sama ada ia membawa lebih banyak manfaat atau mudarat kepada gabungan pembangkang, kata ahli politik dan pemerhati.

Mereka berkata perkembangan terkini seperti penelitian terhadap isu Pulau Batu Puteh dan pemulangan semula pasport oleh mahkamah kepada individu yang disabitkan kesalahan serta didakwa dengan rasuah mungkin memberi mesej PH membenarkan perkara itu berlaku.

Ini boleh menjejaskan PH apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun hadapan apabila pengundi mungkin tidak berpuas hati dengan keadaan semasa.

Bagaimanapun yang lain berkata, MoU itu hanya terhad kepada isu tertentu dan PH masih boleh memainkan peranannya sebagai mekanisme semak dan imbang dengan mempersoalkan tindakan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata MoU itu ditandatangani oleh pihak yang berat sebelah sehingga menjejaskan PH.

Walaupun MoU itu ditandatangani untuk membawa kestabilan politik dan mengemudi negara ke arah pemulihan ekonomi, ia nampaknya menguntungkan kerajaan, katanya.

“Saya percaya PH harus melihat dengan serius sama ada MoU itu benar-benar memihak kepada mereka.

“Kini Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan, ia adalah pertempuran habis-habisan, tetapi saya rasa PH sudah hilang sengatnya disebabkan oleh MoU berkenaan,” katanya.

Kini dengan MoU itu, lebih sukar bagi PH untuk menebus imejnya sebagai pembangkang yang efektif.

“Mereka perlu mempertimbangkan dengan serius sama ada terdapat sebarang merit dalam memanjangkan MoU itu.

“Saya ragu-ragu sama ada PH boleh memberikan cabaran hebat kepada kerajaan dalam PRU akan datang,” katanya.

Isu Pulau Batu Puteh mendapat perhatian baharu selepas kerajaan baru-baru ini mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi semakan semula undang-undang bagi mendapatkan semula pulau itu yang turut dikenali sebagai Pedra Branca di Singapura.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Bagaimanapun gesaan untuk memperbaharui tuntutan Malaysia dibuat selepas dakwaan kerajaan PH memutuskan untuk menarik semula permohonan bagi semakan keputusan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu mempertahankan keputusan kerajaannya untuk menggugurkan permohonan itu atas alasan Malaysia akan menjadi negara pariah jika tidak menghormati janji. 

Sementara itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan peguam Mohd Shafee Abdullah - kesemuanya kini berdepan pertuduhan rasuah - berjaya mendapatkan semula pasport mereka untuk ke luar negara. – 29 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen