MERAPATKAN jurang pembangunan antara negeri dan wilayah, memberi lebih banyak insentif kepada rakyat dan sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta menjana lebih banyak peluang pekerjaan adalah antara harapan besar ahli Parlimen pada Belanjawan 2022.
Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen petang ini.
Tengku Zafrul sebelum ini berkata Belanjawan 2022 bercirikan pengembangan dengan peruntukan yang lebih besar berbanding RM322.5 bilion yang diumumkan pada belanjawan tahun lepas. Belanjawan kali ini juga yang kedua dibentangkan semasa pandemik Covid-19.
Berikut harapan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terhadap Belanjawan 2022 bagi kawasan dan negeri masing-masing:
Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur)
“Kerajaan perlu beri peruntukan yang mencukupi, diagihkan dengan pantas, dan secara terus kepada pelajar yang berdepan masalah kewangan bagi memenuhi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) seperti membeli komputer riba, tablet, pencetak dan data internet.
“Saya juga berharap Kempen Pemilikan Rumah yang akan berakhir November ini akan diteruskan.
“Bagi kawasan parlimen saya pula, saya berharap projek membina pasar Pasir Panji yang sebelum ini sudah diluluskan dengan peruntukan RM10 juta pada 2019 akan diteruskan. Klinik Kesihatan Pengkalan Pegoh juga perlu bagi menampung 150,000 penduduk.
“Begitu juga pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (Ipoh) dengan peruntukan RM150 juta yang diberi kerajaan Pakatan Harapan semasa Belanjawan 2020 juga perlu diteruskan
“Selain itu dana mencukupi perlu diberi kepada Jabatan Kerja Raya Kinta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di sini.”

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat)
“Saya harap kerajaan akan teruskan mana-mana dasar dalam pakej rangsangan dan bantuan yang bagus serta bantuan tunai kepada golongan sasar.
“Program pengekalan pekerjaan seperti Program Subsidi Upah, program pencarian kerja dan program ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ perlu diperhebat bagi mengurangkan pengangguran.
“Penekanan juga seharusnya diberikan kepada usaha menyeimbangi pembangunan wilayah. Dalam hal ini saya mahu melihat beberapa pembangunan di Kelantan serta fasiliti pelancongan dan kemudahan asas di Tumpat khususnya, bagi memberi kemudahan kepada rakyat serta menarik pelancong domestik ke sini.
“Saya juga berharap kerajaan akan memberi bantuan kewangan kepada golongan usahawan muda serta perlu diperluas dan dipermudah mengguna pakai model pembiayaan mikro.
“Bantuan dan galakan kepada golongan rentan khususnya disebabkan oleh pandemik perlu dibangunkan secara jangka masa panjang.
“Melalui belanjawan kali ini juga saya mengharapkan kerajaan mengutamakan pembinaan infrastruktur jalur lebar yang sudah menjadi perkara penting ketika ini.”
Noor Amin Ahmad (PH-Kangar)
“Putrajaya mesti berpegang kepada fiskal disiplin iaitu hanya berbelanja apa yang perlu, bukan kerana ada duit untuk dibelanjakan.
“Saya mahu lihat lebih banyak peruntukan di negeri yang miskin seperti Kelantan, Sabah, Perlis, Kedah dan Sarawak. Saya gelarkannya sebagai strategi ‘reverse devlopment’. Ini akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan projek terutama di sekolah dan pembangunan digital.
“Bajet perlu menumpukan kepada peluang pekerjaan. Sektor seperti Perindustrian Kecil Sederhana (PKS), pelancongan dan sektor berkaitan yang terjejas sejak pandemik perlu diberi insentif.
“Belanjawan 2022 juga perlu menumpu kepada isu keluarga seperti perceraian dan kesihatan mental; perlunya ada saluran, informasi dan celik pengetahuan yang dapat membantu golongan tersebut.
“Ia perlu lebih inklusif, tidak ada orang yang patut ketinggalan.Kita tidak patut melihat bajet sebagai alat ekonomi yang berkisar untung dan rugi tapi sebaliknya ia mesti dilihat sebagai pembangunan strategi yang dapat merangkumi impian kita sebagai Keluarga Malaysia.”

Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai)
“Kerajaan perlu menyelesaikan masalah pengangguran dan membuka peluang pekerjaan termasuk kepada graduan. Pembangunan wilayah dan negeri yang seimbang seperti Kelantan yang tertinggal jauh dari segi pembangunan perlu diberi perhatian.
“Peluang pekerjaan perlu dipertingkatkan agar generasi muda tidak perlu lagi berhijrah untuk bekerja. Kerajaan perlu mencari jalan mempermudahkan generasi muda mendapat peluang membeli rumah.
“Saya berharap kerajaan menggandakan bajet untuk sektor pelancongan. Sudah sampai masanya sektor pelancongan dalam negara dikembangkan kerana banyak tempat menarik terdapat di Malaysia.
“Kuala Krai misalnya terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi seperti air terjun Jelawang, Gua Ikan, Lata Berangin dan pelancongan Islam seperti Pondok Sungai Durian.
“Selain tempat menarik, makanan tempatan seperti nasi kerabu, gulai ikan sungai dan lemang juga boleh menjadi tarikan pelancong.Tentunya ini akan memberi manfaat besar untuk penduduk sekitar di kawasan Kuala Krai. Saya turut berharap kerajaan menyediakan geran dan pinjaman untuk PKS bagi memulakan kembali perniagaan.
“Kesan kesihatan selepas jangkitan Covid-19 pula kita dapat melihat ada individu yang merasai kesan kesihatan jangka panjang walaupun disahkan sembuh. Golongan ini tentunya akan mengalami masalah untuk bekerja seperti biasa malah lebih teruk ada yang mungkin harus terus duduk di rumah sehingga ke akhir hayat.
“Dan ada anak kecil yang menjadi yatim piatu, ada isteri yang kematian suami, warga emas yang kehilangan anak-anak kerana Covid-19. Terdapat golongan B40 malahan M40 yang terkesan dan tentunya golongan OKU. Mereka kehilangan tempat bergantung dan sangat perlu dibantu.
“Kebajikan mereka harus dijamin dan kerajaan perlu menubuhkan pasukan khas untuk memantau golongan ini. Saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar dapat membela golongan armalah (ibu tunggal) yang kematian suami, akibat Covid-19 dan mereka mempunyai anak-anak kecil yang masih bersekolah agar dapat dibantu dan dibimbing untuk memulakan kehidupan baru. Bukan sahaja bantuan bulanan, tetapi tempat tinggal dan kerja buat mereka.”

Darell Leiking (Warisan - Penampang)
“Sabah merupakan antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi pengeluaran minyak dan gas. Dianggarkan Sabah menyumbang hampir 45% ke 50 % tong minyak sehari.
“Saya fikir inilah masanya kerajaan membuktikan apa yang dimaksudkan dengan ‘Keluarga Malaysia’. Jika kerajaan mahu membentangkan bajet Keluarga Malaysia kami sepatutnya mendapat lebih perhatian berbanding anggota Keluarga Malaysia yang lain.
“Sebab kami negeri Borneo. Kita hanya boleh datang ke Sabah dan Sarawak melalui pengangkutan udara (kapal terbang). Biarpun selepas pengumuman projek Lebuh Raya Pan - Borneo Sabah kita masih mempunyai masalah jaringan pengangkutan. Malah di kawasan saya ada yang menyalahkan kontraktor projek tersebut kerana mengakibatkan banjir besar.
“Kita mengharapkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Zafrul untuk memberikan tawaran berbeza kepada Sabah. Kita selalu dengar biasanya peruntukan di Sabah adalah sekitar RM4.5 bilion dan RM5 bilion untuk pembangunan dan geran kerajaan pusat. Berbeza dengan Sarawak peruntukan bajet negeri mereka lebih RM10 bilion.
“Bermakna peruntukan untuk negeri Sabah sangat kebelakang. Di Sabah, kita bukan saja menghadapi masalah kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, jaringan pengangkutan malah liputan internet juga.Kita tidak ada suntikan perniagaan seperti mana yang ada di Semenanjung. Perbezaan itu sangat ketara.
“Saya harap perlu ada penumpuan ‘upskilling’ untuk rakyat Sabah. Kerajaan perlu membuat satu program melatih kemahiran baru dan perlu membawa masuk lebih banyak pelaburan.
“Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ada meminta kerajaan meluluskan industri ganja atau hemp perubatan. Isu ini turut dibangkitkan oleh saya dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di Dewan Rakyat. Jika kerajaan ada keraguan untuk melaksakan di Semenanjung, kerajaan boleh menjadikan Sabah sebagai tempat kajian kerana negeri ini lebih terbuka,” katanya.
Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat)
“Belanjawan 2022 ini adalah bajet yang ditunggu-tunggu. Saya percaya kerajaan akan membentangkan bajet yang merangkumi keseluruhan dari semua golongan terutamanya yang terjejas akibat Covid-19. Saya yakin kerajaan akan beri keutamaan kepada golongan B40, M40 dan juga belia.
“Saya jangka Belanjawan 2022 ini juga akan menumpukan soal pemulihan semula ekonomi negara dan suntikan membantu peniaga -peniaga kecil atau industri PKS.” – 29 Oktober, 2021.
Komen