MALAYSIA merekodkan 6,637 kes sembuh Covid-19 berbanding 6,377 kes jangkitan baharu setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dengan kes sembuh yang direkodkan hari ini menjadikan lebih 2.3 juta orang sembuh daripada Covid-19 sejak permulaan pandemik.
Sementara itu, 564 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 500 disahkan positif, manakala selebihnya adalah kes yang disyaki dan masih di bawah siasatan.
Daripada 564 pesakit, 294 memerlukan alat bantuan pernafasan, yang mana 207 disahkan positif.
Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes jangkitan hari ini, 6,276 adalah kategori 1 (tidak bergejala) dan 2 (bergejala ringan), manakala 101 adalah kategori jangkitan lebih teruk.
Beliau berkata lapan kluster baharu turut direkodkan hari ini. Kini terdapat 5,752 kluster di seluruh negara yang mana 474 masih aktif.
Dr Noor Hisham juga berkata pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti 261 kes melibatkan varian yang membimbangkan (VOC).
Katanya ujian makmal daripada beberapa institusi tempatan mengenal pasti 259 kes varian Delta dan dua kes varian Beta.
Menurutnya ini menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan dengan virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) kepada 2,645 kes. Daripada jumlah keseluruhan yang dikesan, 2,625 adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
Setakat ini, bagi VOC, 2,385 jangkitan melibatkan varian Delta, Beta (226), dan Alpha (14).
Bagi VOI, 13 kes melibatkan varian Theta, Kappa (4) dan Eta (3).– 28 Oktober, 2021.
Komen