Moscow dikenakan perintah berkurung 


Keadaan di Moscow lengang selepas perintah berkurung dikuatkuasakan berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.– Gambar EPA, 28 Oktober, 2021.

MOSCOW dikenakan perintah berkurung selama 11 hari berikutan lonjakan kes jangkitan baharu Covid-19 dan kes kematian selepas usaha vaksinasi tertangguh. 

Semua perkhidmatan tidak penting termasuk kedai runcit, restoran dan lokasi acara sukan serta hiburan ditutup sehingga 7 November, termasuk sekolah dan taska. 

Hanya kedai menjual makanan, ubat-ubatan dan keperluan penting lain yang dibenarkan beroperasi. 

Rusia merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat pandemik dengan lebih 230,000 kes kematian direkodkan. 

Namun pihak berkuasa sebelum ini enggan menguatkuasakan perintah berkurung sebagaimana yang dilakukan negara lain. 

Kerajaan Presiden Vladimir Putin mengharapkan kepada suntikan vaksin buatan mereka Sputnik V, namun sebahagian besar warganya enggan mengambil vaksin. 

Setakat hari ini, hanya 32% penduduk Rusia melengkapkan vaksinasi, menurut laman web Gogov, yang merupakan penyedia data Covid-19 di negara itu. 

Minggu lalu, Putin mengarahkan seluruh negara mengambil cuti bergaji antara 30 Oktober dan 7 November dalam usaha untuk mengurangkan jangkitan dan pihak berkuasa Moscow mengarahkan perkhidmatan tidak penting ditutup bermula hari ini.

Jalan raya di Moscow hari ini kurang sesak berbanding biasa, namun rangkaian pengangkutan awamnya tetap sibuk dengan ramai penumpang yang tidak memakai pelitup muka. 

Pihak berkuasa tidak mengarahkan warga Rusia untuk duduk di rumah pada hari tidak bekerja dan kebanyakan penduduknya merancang untuk melakukan perjalanan dalam dan luar negara. – AFP, 28 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen