PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengesan dengan teliti subvarian Delta bagi menentukan sama ada ia lebih mudah berjangkit dari strain asal memandangkan kes Covid-19 meningkat semula secara global.
Pertubuhan itu juga sedang mengkaji sama ada manusia lebih tahan terhadap subvarian dikenali AY.4.2 yang dikesan di sekurang-kurangnya 42 negara.
“Peningkatan dalam urutan AY.4.2 diperhatikan sejak Julai lalu,” menurut WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguannya.
“Kajian epidemiologi dan makmal sedang dijalankan untuk melihat sama ada terdapat perubahan dalam penularan varian atau penurunan keupayaan antibodi manusia untuk menyekat virus itu,” kata WHO.
Kira-kira 93% dari semua kes subvarian yang dikesan berada di Britain, menurut data yang dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID.
Kes itu menyumbang kira-kira 5.9 peratus dari semua kes Delta yang dilaporkan di Britain pada minggu bermula 3 Oktober.
WHO juga berkata sebagai sebahagian daripada semua jangkitan, peningkatan jumlah kes dalam kalangan mereka berusia di bawah 25 tahun sudah dilaporkan sejak awal Julai, khususnya di kawasan Eropah dan Pasifik Barat.
Ini kerana golongan yang lebih berusia kebanyakannya sudah divaksin manakala golongan muda lebih cenderung bergaul secara sosial.
WHO berkata mereka mempunyai data berkenaan jantina 123 juta kes Covid-19 yang direkodkan. Daripada jumlah ini, 51% adalah wanita.
Tetapi lelaki menyumbang 58% daripada kes kematian.
WHO berkata dalam kalangan mereka berusia lebih 65 tahun, kadar kematian menurun sejak September 2020.
Mereka berkata 47% penduduk dunia kini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. – AFP, 28 Oktober, 2021.
Komen