BARISAN Nasional (BN) akan memberi peluang kepada muka baharu untuk bertanding pada pilihan raya negeri Melaka, kata pengerusi gabungan itu Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Zahid berkata ini akan memberi peluang kepada golongan muda untuk diketengahkan pada pentas besar.
Menurutnya beliau juga yakin calon yang bertanding sebelum ini akan memberi peluang kepada orang lain untuk berjaya dalam arena politik.
“Walaupun pengarah pilihan raya Umno dan timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan saya akan mengadakan perbincangan mengenai calon, saya yakin kali ini kita akan memilih calon baharu yang terbaik.
“Ini bukan bermakna yang lama tidak baik. Mereka bagus..namun saya yakin mereka akan beri peluang kepada orang muda untuk buktikan diri mereka,” kata Zahid pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN.
Zahid yakin parti komponen MCA dan MIC, yang akan diberi kerusi untuk bertanding, juga akan mengambil pendekatan sama untuk mengetengahkan calon baharu.
Dengan kira-kira 500,000 pengundi berdaftar di negeri itu, Zahid berkata pendekatan baharu ini akan membawa perubahan kepada BN pada pilihan raya kali ini.
Zahid yang juga presiden Umno berkata penyokong tidak perlu bimbang kerana beliau memberi jaminan tidak akan berlaku pilih kasih dalam pemilihan calon.
“Jangan fikir akan berlaku pilih kasih dalam pemilihan calon.
“Saya jamin tidak akan ada calon pilihan Ab Rauf Yusoh (bekas speaker Melaka), tidak ada calon pilihan Sulaiman Md Ali (ketua menteri sementara), tiada calon pilihan Mohamad Hassan..atau Zahid Hamidi mahupun Ismail Sabri.
“Siapa sahaja yang dicalonkan adalah calon BN untuk menang pada pilihan raya Melaka,” katanya.
Zahid berkata walaupun calon BN terus menjadi pilihan (rakyat), faktor calon juga memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang.
Tambahnya calon perlu memiliki sifat yang dipanggilnya WALI (Boleh menang - Diterima - Disukai).
Mereka perlu ada pengetahuan yang boleh diterima oleh semua bangsa dan agama, katanya.
Zahid berkata BN turut menyediakan dan menggariskan manifesto untuk rakyat Melaka.
“Saya sudah maklumkan kepada jawatankuasa pilihan raya (BN) untuk jadikan manifesto ringkas namun mempunyai sesuatu yang dekat di hati…sesuatu yang boleh dilakukan,” tambahnya. – 27 Oktober, 2021.
Komen