Malaysia catat 6,148 kes baharu Covid-19, kata Noor Hisham


Ravin Palanisamy

Sembilan kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster di negara ini kepada 5,744, dengan 494 masih aktif manakala 5,250 diisytiharkan tamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2021.

MALAYSIA mencatatkan 6,148 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 2,448.372, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, daripada kes baharu itu, 98.4% atau 6,047 kes berada dalam kategori tidak bergejala yang kurang teruk dan Kategori 1 dan 2 dengan gejala ringan.

Hanya 1.6% atau 101 kes berada dalam kategori lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Bagi kes hari ini, Noor Hisham berkata 21 kes diimport manakala selebihnya adalah penularan tempatan.

Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik oleh kementerian dalam laman web CovidNow mereka pada tengah malam.

Sementara itu, penggunaan katil di unit rawatan rapi terus menurun kepada 563 kes hari ini berbanding 598 semalam.

Daripada jumlah itu, 495 kes disahkan Covid-19 manakala baki 68 lagi disyaki dan dalam siasatan.

Pesakit yang mendapat bantuan ventilator juga menurun daripada 308 semalam kepada 292 hari ini, dengan 211 adalah kes Covid-19 manakala selebihnya adalah kes disyaki dan dalam siasatan.

Noor Hisham berkata kementerian mengesan sembilan kluster baharu Covid-19 hari ini, yang menyumbang kepada 227 kes positif.

Enam kluster dikaitkan dengan tempat kerja (184 kes), satu dikesan dalam komuniti (12 kes), satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi (24 kes) dan satu kluster pendidikan (7 kes).

Kuala Lumpur mempunyai bilangan kluster terbanyak (empat), dengan tiga dikesan di tempat kerja dan satu lagi kluster pendidikan.

Selangor melaporkan dua kluster tempat kerja dan terdapat satu di Kedah.

Kluster komuniti menular di Kelantan dan kluster berisiko tinggi dikesan di Perak.

Sembilan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster di negara ini kepada 5,744, dengan 494 kluster masih aktif manakala 5,250 diisytiharkan tamat. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen