Malaysia harap dapat buka semula sempadan tidak lama lagi, kata menteri


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata kerajaan memantau keadaan di Langkawi yang menjadi perintis gelembung pelancongan antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2021.

MENTERI Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berharap Malaysia dapat membuka semula sempadan sepenuhnya tidak lama lagi kepada pelancong asing.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Nancy berkata kerajaan akan memantau bagaimana keadaan di Langkawi sebelum membuka semula bahagian lain di negara ini kepada pelancong asing.

Pulau itu dipilih menjadi sebahagian daripada projek perintis untuk gelembung pelancongan antarabangsa dan akan mula menerima pelancong asing mulai pertengahan November.

“Kami menyasarkan tiga bulan tetapi saya tidak fikir ia akan mengambil masa tiga bulan. Saya rasa kita mungkin boleh buka semula lebih awal,” katanya semasa sesi bertanya.

“Mari kita berdoa ia boleh dilaksanakan tidak lama lagi. Mungkin selepas 16 November atau awal Disember.”

“Ia bukan janji tetapi kami akan cuba,” tambahnya.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu menjawab soalan tambahan M. Karupaiya (Padang Serai-PH) mengenai rancangan membuka semula negara kepada pelancong asing.

Nancy juga menambah tiada keperluan mewujudkan gelembung pelancongan domestik lain selain Langkawi kerana sekatan perjalanan antara negeri sudah ditarik balik, kini lebih 90% daripada populasi dewasa negara sudah mendapat suntikan vaksin.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis-GPS) mengenai pelan memperkenalkan gelembung perjalanan untuk Sarawak seperti Langkawi. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen