Malaysia catat 84 kematian Covid-19, semua kes tertunggak


Jumlah kematian di negara ini kini sebanyak 28,576 kes apabila 84 lagi kematian dilaporkan setakat tengah malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2021.

MALAYSIA melaporkan 84 kematian berkaitan koronavirus setakat tengah malam semalam, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesemua kematian adalah kes tertunggak di mana tiada kematian berlaku semalam, menurut simpanan data mentah GitHub KKM.

Ini menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 28,576.

Sebanyak 20 kes diisytiharkan meninggal dunia di luar hospital menjadikan jumlah kematian dalam kategori ini sebanyak 5,771 kes.

Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari kejadian ditambah kes yang baru disahkan oleh KKM berpunca dari Covid-19 selepas siasatan.

Di Malaysia Timur, Sarawak mencatatkan 19 kematian dan Sabah 16 kematian.

Enam daripada kematian di Sarawak dan 10 di Sabah adalah kes di luar hospital.

Perak adalah satu-satunya negeri yang mencatatkan lebih 10 kematian dengan 12 kes.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kematian ialah Selangor (8), Johor dan Terengganu (masing-masing 7), Kedah (6), Kelantan (5), Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (masing-masing 1).

Johor, Kelantan, Perak dan Selangor masing-masing melaporkan kes kematian di luar hospital.

Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Walaupun tiada kematian dilaporkan semalam di Negeri Sembilan, namun negeri itu mempunyai kadar kematian Covid-19 tertinggi iaitu 71% di Malaysia selepas menyaksikan 18 kematian dalam tempoh 14 hari lalu.

Satu-satunya negeri yang menyaksikan peningkatan kadar kematian akibat Covid-19 dalam tempoh dua minggu ialah Kedah pada 28%. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen