BUAT pertama kali dalam tempoh 40 hari, kes aktif Covid-19 di Malaysia meningkat selepas negara ini melaporkan lebih banyak jangkitan berbanding kes pulih.
Menurut laman web CovidNow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), kes aktif meningkat 35, daripada 73,223 ke 73,258 selepas Malaysia melaporkan 5,726 kes baharu berbanding 5,607 kes pulih dan 84 kematian.
Bagi jangkitan baharu, Lembah Klang termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 1,305 atau 23% daripada keseluruhan kes.
Selangor melaporkan 929 kes, Kuala Lumpur (339) dan Putrajaya (37).
Kes di Selangor antara yang paling tinggi semalam, diikuti Sarawak (713) dan Kelantan (685).
Negeri lain yang melaporkan kes jangkitan baharu ialah Sabah (565), Johor (488), Pu;au Pinang (378), Kedah (346), Terengganu (292), Perak (257), Melaka (253), Pahang (219), Negeri Sembilan (199), Perlis (23) dan Labuan (3).
Daripada kes baharu itu, 98.3% atau 5,629 kes tidak bergejala atau sederhana dalam kategori 1 dan 2 sementara 1.7% atau 97 kes dalam kategori 3, 4, dan 5.
Hanya 1,337 daripada kes itu menerima rawatan di hospital.
Sepanjang tujuh hari lalu, kemasukan ke hospital menurun 27%. Purata tujuh hari kemasukan ke hospital kekal 1,000 dengan penggunaan katil 69%.
Walaupun Selangor terus merekodkan kes tertinggi sepanjang beberapa minggu lalu, ia melaporkan 23% penurunan bagi kemasukan pesakit ke hospital bagi tempoh tujuh hari lalu.
Secara purata, sepanjang minggu lalu, Selangor merekodkan 299 kemasukan ke hospital dengan penggunaan katil kekal pada 71%.
Sementara itu, bagi kes aktif 56,484 (77.1%) pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah, 9,580 (13.1%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 6,610 (9%) di hospital.
Pesakit di unit rawatan rapi juga menurun kepada 584, dengan 305 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 27 Oktober, 2021.
Komen