AHLI Parlimen Pakatan Harapan mula menerima sebahagian dana kawasan Parlimen yang dijanjikan kepada ahli Parlimen berikutan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan parti pembangkang.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight lebih banyak bantuan dapat disalurkan ke kawasan mereka dan ada di antara mereka menyenaraikan bagaimana peruntukan itu dibelanjakan.
MoU transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani antara kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan parti PH (PKR, DAP, Amanah dan Upko) pada September, menjaminkan pembaharuan Parlimen, mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan memberi peruntukan sama rata untuk semua kawasan Parlimen.
Janji peruntukan yang sama rata menghentikan amalan sebelum ini yang mana kerajaan semasa sentiasa memberi peruntukan lebih besar kepada ahli Parlimen kerajaan. Hanya RM100,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen pembangkang.
Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Wong berkata ahli Parlimen diberi Outright Grant (OG) sebanyak RM500,000 untuk 2021. Daripada jumlah itu, RM250,000 dikreditkan pada 1 Oktober, katanya.
Memberikan butiran bagaimana wang berkenaan dibelanjakan, ahli Parlimen DAP itu berkata beliau mengagihkan RM250,000 kepada 28 sekolah kebangsaan, vernakular dan sekolah agama di kawasannya bagi membantu pelajar miskin dengan pembelajaran dalam talian.
“Mereka boleh gunakan wang berkenaan untuk membeli komputer, tablet, dan membayar bil internet untuk pelajar. Jumlah peruntukan itu adalah antara RM5,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jumlah pelajar,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
Beliau merasakan perlu untuk mengagihkan dana kepada sekolah kerana terdapat keperluan mendesak untuk pelajar miskin yang mana pembelajaran mereka terganggu oleh pandemik Covid-19.
“Untuk RM250,000 seterusnya, fokus saya adalah untuk membantu golongan yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya dan menambah wang berkenaan akan diagihkan kepada ahli Parlimen pada 1 November.
Sementara itu Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dari PKR berkata ahli Parlimen sepatutnya menerima peruntukan penuh tahun depan.
“Untuk tahun ini, ia hanya sedikit, purata daripada masa yang tinggal untuk dibelanjakan,” kata Noor Amin tanpa mendedahkan jumlah yang diterimanya.
“Secara asasnya, peruntukan ini adalah untuk rakyat. Cuma terdapat beberapa peruntukan yang dihadkan hanya untuk pembangunan infrastruktur kecil manakala sebahagian lagi untuk program amal.
“Berdasarkan cara saya membelanjakan peruntukan saya pada 2019 (untuk kali pertama dan satu-satunya menerima peruntukan setahun penuh), kira-kira satu perempat diperuntukkan untuk sektor pendidikan seperti sekolah, persatuan ibu bapa dan guru, sukan, dan lain-lain.”
Separuh lagi katanya dibelanjakan untuk keraian, gotong-royong, siri dialog dan persatuan sukan.
Dan selebihnya adalah untuk sumbangan (kepada rakyat) sama ada (melalui) wang, peralatan atau bakul makanan kepada pelbagai golongan yang terkesan, katanya.
Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latif Abdul Rahman berkongsi senarai projek yang dilaksanakan di kawasannya tahun ini termasuk membina jalan baharu, membaik pulih masjid, bantuan makanan, bantuan kewangan kematian dan lain-lain.
Ahli Parlimen PAS itu bagaimanapun tidak mendedahkan berapa banyak yang diterimanya di bawah peruntukan khas itu.– 27 Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen