Bila kami boleh pulang, tanya penduduk terjejas akibat tanah runtuh di Bangsar


Noel Achariam

Penduduk melihat keadaan runtuhan di belakang kediaman mereka di Lingkungan Negeri Sembilan dan Jalan Limau Purut, Bangsar, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Oktober, 2021.

PENDUDUK Bangsar yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas berlaku tanah runtuh meminta pihak berkuasa memberikan garis masa bila mereka boleh pulang.

Keluarga yang terpaksa berpindah berkata mereka masih tidak pasti bila kerja memulihkan runtuhan di belakang rumah mereka selesai.

Salah seorang ahli keluarga terbabit yang enggan namanya didedahkan memberitahu The Malaysian Insight pihak berkuasa sedang menyelesaikan isu berkenaan namun tidak memaklumkan bila mereka boleh kembali ke kediaman.

“Sesuatu perlu dilakukan segera. Kami masih tidak tahu bila kami boleh pindah semula. Kami diberi maklumat namun kami harap dapat tahu bila kami boleh kembali ke rumah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sabtu lalu, keluarga yang tinggal di triga buah rumah diminta berpindah selepas berlaku tanah runtuh di sepanjang Lingkungan Negeri Sembilan dan Jalan Limau Purut.

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata langkah itu merupakan langkah keselamatan, walaupun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.

Dalam laporan awal, Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata tanah berkenaan runtuh dari bahu jalan utama sepanjang 40 meter.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah menasihatkan penduduk agar kekal tenang.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan pegawai mereka dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Menurut mangsa isu utama yang dihadapi mereka adalah keselamatan tembok penghadang di belakang kediaman mereka.

“Pada pagi Sabtu, sebelum insiden berlaku kontraktor kami datang untuk memeriksa dahan pokok yang jatuh ke laman rumah kami.

“Kemudian kami melihat keretakan kediaman kami di laman belakang. Beliau (kontraktor) berkata rakan itu nampak tidak bagus dan ia agak membimbangkan.”

Mangsa kemudian berkata pada Sabtu kira-kira pukul 6 petang tanah runtuh berlaku.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat segera datang untuk memeriksa kawasan berkenaan. Kami keluar dari rumah ketika runtuhan berlaku. Kami kemudiannya berat hati untuk masuk semula ke rumah kami.

“Kemudian kami diarahkan pihak berkuasa untuk kosongkan rumah kami.”

Pada Ahad, beberapa ahli keluarga terlibat kembali ke rumah mereka untuk mengambil barangan keperluan.

“Ianya pengalaman yang sangat menakutkan kami semua kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Pada Ahad, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata pihak berkuasa masih menunggu laporan daripada Ikram berhubung runtuhan itu sebelum membuat keputusan lanjut.

Beliau berkata kerja membaik pulih akan dijalankan segera sebaik sahaja laporan lengkap.

Sementara itu, timbalannya Jalaluddin Alias mahu kajian jangka panjang berhubung punca kejadian dalam tempoh tiga bulan.

“Pihak berkuasa berkenaan akan menjalankan kerja pemulihan awal berkaitan dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam posting di Facebook selepas melawat kawasan terlibat.– 26 Oktober, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen