DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memperluaskan pemeriksaannya di sepanjang jalan yang menjadi tapak tanah runtuh pada hujung minggu lalu, kata Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya (BBRAYA).
BBRAYA kini bimbang tentang cerun di sepanjang Jalan Limau Manis di Bangsar yang bersebelahan dengan Lingkungan Negeri Sembilan (LNS) yang mereka fikir sebagai risiko tanah runtuh.
Penasihat BBRAYA M. Ali berkata ada kemungkinan jika tiada pemeriksaan dibuat, kira-kira 30 rumah mungkin boleh terjejas akibat kejadian tidak diingini sekiranya tembok runtuhan yang dibina untuk mengukuhkan cerun itu runtuh.
Beliau mahu DBKL memeriksa tembok penahan yang terletak di belakang rumah di sepanjang Jalan Limau Manis.
Ali memberitahu The Malaysian Insight keseluruhan sistem perparitan kawasan itu juga perlu diperiksa dan diganti jika perlu.
“Sekiranya pemerikasaan tidak dibuat, rumah di sepanjang Jalan Limau Manis dan setiap rumah di LNS akan alami keadaan yang sama, mungkin lebih teruk.”
Ali merujuk kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku di LNS dan menjejaskan rumah di Jalan Limau Purut pada Sabtu.
Pihak berkuasa telah memberitahu penghuni di tiga rumah yang terjejas berpindah selepas tanah runtuh yang berlaku pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata nasihat itu diberikan atas sebab keselamatan walaupun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
“Pemeriksaan awal dari pihak bomba dan penyelamat mendapati tanah runtuh berlaku di belakang rumah bernombor 43, 45 dan 47 di sepanjang Jalan Limau Purut. Tidak ada kematian atau kerosakan yang direkodkan tetapi penduduk dinasihatkan berpindah atas faktor keselamatan mereka sendiri,” kata Amihizam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam laporan awal berkata tanah runtuh itu berlaku sepanjang 40 meter.
Ali berkata, pemeriksaan di tembok penahan perlu disegerakan bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Dinding runtuhan itu kira-kira tiga meter dari rumah.”
Beliau turut mempersoalkan rancangan untuk membina kolam tadahan di LNS.
“Pada 18 September, kami buat lawatan tapak bersama DBKL untuk program tebatan banjir di LNS.
“Mereka mahu tunjuk kepada kami yang mereka rancang untuk bina kolam tadahan di LNS.
“Tetapi, kami beritahu mereka untuk tunjuk kepada kami longkang yang ada di belakang rumah di LNS.”
Beliau mempersoalkan DBKL jika ia mengambil sebarang langkah mitigasi di LNS untuk bendung air.
“Dan jika mereka alih air ke Bangsar, ia akan menyebabkan kawasan itu dinaiki air.
“Apa status, ke mana air akan mengalir?
“Saya kemudian tunjuk kepada mereka dinding runtuhan dan tapak rumah di Jalan Limau Manis di mana setiap kali hujan rumah akan dinaiki air dan dinding mungkin runtuh akibat resapan air kerana kegagalan sistem perparitan di LNS.”
Ali berkata mereka kemudian memberitahu DBKL supaya tidak bina kolam tadahan itu selagi isu ini tidak diselesaikan.
Beliau berkata mereka telah meminta untuk berjumpa dan DBKL telah bersetuju untuk bertemu mereka pada November bagi membincangkan isu itu. – 26 Oktober, 2021.
Komen