PENGALAMAN Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim “berbual” dalam Bahasa Tamil dengan gajah liar, yang diceritakannya di Dewan Rakyat, mengundang kemarahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang mendakwa kisah itu menghina kaum India.
Rayer berdegil dengan pendiriannya sehingga diminta oleh Speaker Azhar azizan Harun supaya keluar dari Dewan Rakyat.
“Saya tanya gajah itu kenapa datang ke sini. Awak datang ke kampung kami dari hutan. Kehadiran awak di sini menyusahkan awak dan penduduk di sini,” katanya dalam bahasa Tamil.
Rayer, kemudian mencelah dan meminta Azeez menarik balik kenyataan itu kerana ia sama seperti “menghina bahasa Tamil”.
“Bercakap dengan gajah dalam bahasa Tamil adalah sesuatu yang tak logik,” katanya.
Ini membawa kepada pertengkaran antara kedua mereka yang enggan duduk walaupun berulang kali Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggesa supaya bertenang.
Memetik Peraturan Mesyuarat kerana menghina dewan, Rayer berkata terdapat beberapa ahli Parlimen dan ramai rakyat Malaysia yang berbangsa Tamil.
“Adakah Speaker nak benarkan Baling (Azeez) menghina yang bangsa Tamil dengan mengeluarkan kenyataan tersebut. Beliau boleh bercakap dengan gajah dalam bahasa Tamil?
“Kenyataan yang bodoh! Kurang ajar!” kata Rayer.
Azhar kemudian mengarahkan Rayer duduk, berkata manusia menggunakan bahasa yang berbeza untuk bercakap.
“YB (Rayer) kamu macam kilang marah. You can manufactured anger (Kamu boleh hasilkan kemarahan),” kata Azhar.
Rayer terus mendesak Azhar untuk mengarahkan Abdul Azeez menarik balik kenyataan itu.
“Bukan menghina bahasa Tamil. Itu cerita dia… Yang Berhormat, ada orang yang boleh bercakap Arab, ada orang yang bercakap Inggeris,” kata Azhar.
Memandangkan Rayer enggan berundur, Azhar mengarahkannya keluar dewan selama 10 minit.
“Kamu keluar sekarang 10 minit. YB Jelutong, saya perintah kamu keluar 10 minit.
“Bentara, 10 minit tolong eskot,” perintah Azhar. – 26 Oktober, 2021.
Komen