Buat pertama kali sejak 40 hari kes baharu Covid-19 lebihi pemulihan


Ravin Palanisamy

Kali terakhir Malaysia melaporkan jumlah jangkitan melebihi kes sembuh adalah pada 16 September dengan 18,815 jangkitan berbanding 16,939 kes sembuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

BUAT pertama kali dalam tempoh 40 hari, negara melaporkan lebih banyak jangkitan baharu Covid-19 berbanding kes sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mencatatkan 5,726 jangkitan baharu berbanding 5,607 kes sembuh setakat tengah hari ini.

Kali terakhir Malaysia melaporkan jumlah jangkitan melebihi kes sembuh adalah pada 16 September dengan 18,815 jangkitan berbanding 16,939 kes sembuh.

Daripada jumlah kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata 98.3 peratus atau 5,629 kes berada dalam kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan bergejala ringan.

Cuma 1.7 peratus atau 97 kes berada dalam kategori lebih serius iaitu 3, 4 dan 5.

Pecahan kes mengikut negeri akan dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan dalam laman web CovidNow pada tengah malam.

Sementara itu, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menyaksikan penurunan hari ini kepada 598 berbanding 607 pada semalam.

Daripada jumlah itu, 512 kes disahkan Covid-19 manakala baki 86 kes disyaki dan sedang dalam siasatan.

Terdapat sedikit peningkatan pesakit yang menggunakan ventilator, daripada 300 pada semalam kepada 308 hari ini.

Daripada jumlah itu, 219 sah kes Covid-19 dengan selebihnya disyaki dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut berkata kementerian mengesan tujuh kluster baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, yang menyumbang 182 kes positif.

Lima daripada kluster itu berkait tempat kerja (116 kes), satu dikesan dalam masyarakat (49 kes) dan satu melibatkan sektor pendidikan (17 kes).

Daripada lima kluster tempat kerja, Johor melaporkan dua, Kedah, Melaka dan Perak masing-masing satu.

Sabah melaporkan kluster komuniti manakala kluster pendidikan dikesan di Negeri Sembilan.

Tujuh kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster negara kepada 5,735. Daripada jumlah itu, 506 masih aktif dan 5,229 telah tamat. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen