BUAT pertama kalinya PAS memuji konsep Keluarga Malaysia yang dicetus Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan menerima realiti kemajmukan negara ini.
Presidennya Abdul Hadi Awang berkata parti itu menerima konsep tersebut bagi memastikan negara stabil.
“PAS menyambut baik konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh perdana menteri untuk diterapkan dalam pentadbiran kerajaan, berteraskan nilai keterangkuman dan kebersamaan.
“PAS menerima realiti kemajmukan kaum dan agama di Malaysia dengan memperkenalkan konsep adil untuk semua, tiada paksaan dalam beragama dan wajib bertolong-tolongan antara satu sama lain, di atas konsep perpaduan umat manusia yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“PAS melalui pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua telahpun direalisasikan, melalui hak beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.
“Justeru PAS… mengajak semua pihak untuk menjayakan hasrat murni ini demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” kata ahli Parlimen Marang itu.
Dua minggu lepas, Ismail merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia, bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai konsep diperkenalkannya dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 22 Ogos lalu.
Dalam ucapan disiarkan secara langsung di RTM TV1, beliau mengakui hakikat ramai individu tertanya-tanya idea di sebalik konsep itu dan mengapa kerajaan mahu naikkan “semangat” Keluarga Malaysia.
“Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.
“Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan keterangkuman dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara’” kata Ismail Sabri. – 26 Oktober, 2021.
Komen