Kerajaan tak pilih kasih SOP PRN Melaka, kata Wan Junaidi


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

SPR akan mengumumkan SOP bagi PRN Melaka sebelum hari penamaan calon pada 8 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

KERAJAAN tidak mengamalkan pilih kasih dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan semua pihak termasuk menteri diingatkan supaya mematuhinya, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menjawab pertanyaan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat hari ini, mengenai jaminan kerajaan tiada pilih kasih dalam pelaksanaan SOP bagi kempen PRN Melaka.

Saifuddin menyuarakan kebimbangan menteri akan menyalah guna program rasmi kerajaan untuk berkempen di Melaka yang kini berada dalam  Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) majlis rasmi kerajaan dibenarkan bagi individu lengkap vaksinasi Covid-19 di negeri Fasa 4 PPN.

“Kita tidak mengamalkan pilih kasih, saya berharap tiap-tiap pihak (beri kerjasama), saya bercakap bagi pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan) dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

“Ada dua agensi yang berbeza di sini. Satu, SPR berkehendakkan ‘vibrancy democratic pratice’ , maknanya membenarkan keseluruhannya berpandu kepada apa yang ditetapkan MKN dan KKM. Kalau undang-undang dilaksanakan oleh satu pihak, mesti juga dilaksanakan pihak lain,” katanya. 

Ahli Parlimen Santubong itu menambah, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Saya akan meminta menteri jangan ‘circumvent’ (salah guna) SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.”

SPR katanya akan mengumumkan SOP bagi PRN Melaka sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

Menurutnya, penambahbaikan SOP bagi PRN Melaka sedang dimuktamadkan oleh SPR bersama KKM dan MKN. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen