KKM lapor 92 kematian akibat Covid-19, semua kes tertunggak


Ravin Palanisamy

Jumlah keseluruhan kematian sejak wabak Covid-19 bermula kini mencecah 28,492 kes. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

MALAYSIA melaporkan 92 kematian berkaitan koronavirus setakat tengah malam, dua kali ganda jumlah kematian sehari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut data GitHub kementerian, semua kematian adalah tertunggak, bermakna tiada kematian berlaku semalam.

Ia menjadikan angka kematian kepada 28,492.

Daripada 92 kematian itu, 11 diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital, menjadikan jumlah kematian dalam kategori ini sebanyak 5,751.

Angka kematian harian adalah jumlah kes kematian yang dilaporkan pada hari tertentu serta yang baharu disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan akibat Covid-19 selepas selesai siasatan.

Mengenai pecahan kematian, Johor mencatatkan 20 kematian, meningkat berbanding lima kematian dilaporkan sehari sebelumnya.

Menyusuli Johor ialah Pulau Pinang dan Sarawak, dengan masing-masing 14 kematian.

Sebanyak 14 kematian di Pulau Pinang adalah yang tertinggi dalam tempoh dua minggu lalu, dengan 26 kematian dilaporkan pada 11 Oktober.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kematian baharu ialah Kelantan (12), Perak dan Sabah (masing-masing 8), Selangor (4), Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (masing-masing 3), Kedah, Melaka dan Terengganu (masing-masing 2).

Tiada kematian Covid-19 dilaporkan di Pahang, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Negeri Sembilan mempunyai trend kematian terbesar 14 hari lalu dengan 21 kematian dilaporkan dalam tempoh ini, menyebabkan angka kematian di negeri ini naik sebanyak 100%. Ia diikuti oleh Kedah (33%) dan Melaka (15%).

Bagi 11 kes kematian di luar hospital, Johor, Sabah dan Selangor masing-masing dua, manakala satu kes bagi Kedah, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen