Dewan Negara lulus 2 RUU berkaitan pembiayaan Covid-19


Dewan Negara hari ini meluluskan Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

DEWAN Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pembiayaan bagi pandemik Covid-19 dan wabak penyakit berjangkit.

RUU yang diluluskan ialah Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021.

Kedua-dua RUU itu masing-masing dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan mendapat lebih suara bersetuju ahli Dewan Negara.

Terdahulu, 14 senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 yang bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumum kerajaan sejak awal tahun ini.

Mohd Shahar ketika menggulung RUU berkenaan berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi kesan melibatkan ekonomi negara berkembang kepada 7.1% pada separuh tahun ini, berbanding menguncup 8.4% dalam tempoh 2020. 

“Komitmen kita daripada kerajaan persekutuan dan (kerajaan) negeri turut mengambil bahagian dalam inisiatif membaik pulih dana KWAN pasca pemulihan ekonomi yang mana ia amat penting di samping mengukuhkan tadbir urus penggunaan dana KWAN untuk memastikannya dapat menjalankan peranannya seperti termaktub dalam Seksyen 5 Akta 339,” katanya.

Dua RUU berkenaan sebelum ini dilulus Dewan Rakyat pada 11 Oktober lepas.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.– Bernama, 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen