Kes sembuh atasi jangkitan baharu Covid-19 buat hari ke-39


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 4,782 jangkitan baharu, 98 peratus atau 4,686 kes berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala selebihnya dalam kategori yang lebih serius. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

JUMLAH kes pulih Covid-19 terus mengatasi jumlah jangkitan baharu apabila Malaysia melaporkan 7,414 kes sembuh berbanding 4,782 jangkitan baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hari ini adalah hari ke-39 berturut-turut di mana lebih ramai orang sembuh daripada Covid-19 berbanding jumlah kes baharu.

Jumlah ini juga akan mengurangkan jumlah kes aktif di negara ini menjadi lebih rendah. Ia akan dikemas kini selepas tengah malam di laman web CovidNow Kementerian Kesihatan.

Angka kumulatif yang sembuh kini sebanyak 2,334,783.

Sementara itu, 4,782 jangkitan baharu koronavirus hari ini adalah yang terendah sejak 22 Jun.

Daripada jangkitan baharu ini, Dr Noor Hisham berkata 98 peratus atau 4,686 kes berada dalam Kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan.

Baki 2 peratus atau 96 kes berada dalam keadaan lebih serius iaitu Kategori 3, 4 dan 5.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) meningkat sedikit kepada 607 orang berbanding 601 orang pada semalam.

Daripada jumlah itu, 514 disahkan kes Covid-19 sementara 93 lagi adalah kes yang disyaki dan sedang disiasat.

Terdapat 300 pesakit yang menggunakan ventilator, di mana 217 adalah kes Covid-19 dan selebihnya kes disyaki dan sedang disiasat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata kementerian mengenal pasti enam kluster baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, yang menyumbang 73 kes.

Katanya, tiga kluster berkait tempat kerja (31 kes), manakala satu kluster komuniti (15 kes) dan dua kluster sektor pendidikan yang menyumbang 27 kes.

Johor dan Kedah masing-masing melaporkan dua kluster, manakala Selangor dan Kelantan masing-masing satu kluster.

Ini menjadikan jumlah kluster di negara ini kepada 5,728. Daripada jumlah itu, 5,200 telah tamat manakala 528 masih aktif. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen