PRK Bugaya patut diteruskan, kata Wan Junaidi


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkatabeliau telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai PRK Bugaya minggu lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

JEMAAH Menteri telah dinasihati untuk meneruskan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Bugaya di Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai isu Bugaya minggu lepas. Pilihan raya kecil sepatutnya diteruskan,” katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat.

Wan Junaidi menjawab persoalan Ahli Parlimen Ahmad Hassan (Papar-Warisan) yang bertanya status PRK Bugaya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan bulan depan.

Kerusi DUN Bugaya kosong kurang dua bulan selepas PRN Sabah apabila penyandangnya Manis Muka Mohd Dara meninggal dunia pada 11 November 2020.

Wakil rakyat Warisan itu meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Dalam PRN Sabah pada hujung September 2020, Manis Muka mengekalkan kerusi Bugaya dengan majoriti 6,005 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan calon Bersatu, PPRS, USNO, PCS dan dua calon bebas.

Beliau pada masa itu belum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat kerana dikuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Susulan kematiannya, kerajaan memohon perisytiharan darurat untuk menyekat PRK bagi mengelak penularan baharu Covid-19.

Selain Bugaya, dua kerusi Parlimen iaitu Gerik dan Batu Sapi yang kematian wakil rakyat juga masih kosong kerana terikat dengan perisytiharan darurat.

Bagaimanapun PRK dua kerusi itu tidak perlu diadakan kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun selepas pilihan raya umum yang berlangsung pada Mei 2018. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen