Peguam Negara perlu jelaskan kenapa Najib, sekutu boleh dapat kembali pasport, kata Mukhriz


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menggesa Peguam Negara jelaskan kenapa beberapa personaliti terkemuka negara yang sedang dibicara boleh dapat pasport untuk ke luar negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2021.

PEGUAM Negara Idrus Harun perlu jelaskan mengapa beliau tidak membantah permohonan dapatkan semula pasport buat sementara oleh beberapa personaliti terkemuka yang sedang dalam perbicaraan untuk ke luar negara, kata Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata perlu ada penjelasan berhubung perkara itu kerana Pejabat Peguam Negara telah bersetuju dengan permohonan tertuduh untuk ke luar negara atas apa sahaja sebab, sedangkan rakyat yang ada pinjaman pendidikan tinggi kekal disenaraihitamkan.

“Pejabat Peguam Negara tidak langsung mempertikaikan keputusan mahkamah ini. Walhal sebelum ini pasport itu telah dipegang atas permintaan kamar peguam negara, juga LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kadang-kadang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pun minta supaya pasport tidak dipulangkan kepada pihak yang dituduh.

“Saya terima banyak mesej daripada pelajar-pelajar universiti dan graduan-graduan baharu yang bermasalah kerana dalam keadaan PKP (perintah kawalan pergerakan) sebelum ini, tak ada kerja, maka tidak mampu untuk membayar PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Jadi kerana tidak membayar PPTN mereka dihalang dari ke luar negara.

“Doktor-doktor yang ada tunggakan bayaran cukai, yang lama lama dulu, bukan banyak pun, tak sampai seribu ringgit pun, itu pun mereka tidak dibenar keluar negara jadi pasport mereka dipegang.

“Tetapi individu-individu ini dapat memperoleh pasport mereka dan ke luar negara,” kata presiden Pejuang dalam sidang media parti itu yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kepada kelulusan mahkamah baru-baru ini agar Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dibenarkan terbang ke Singapura untuk menziarahi anak perempuan mereka yang sedang hamil.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga telah diberikan pasportnya untuk pergi ke Jerman bagi mendapatkan rawatan.

Awal hari ini, pasport peguam Muhammad Shafee Abdullah juga diberikan semula untuk beliau pergi ke Amerika Syarikat bagi menguruskan kemasukan pengajian anaknya di New York.

Keempat-empat mereka berdepan pertuduhan jenayah. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen