Pejuang tak tanding PRN Melaka, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang juga tidak akan membantu mana-mana parti untuk berkempen pada PRN Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2021.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Pejuang juga tidak akan membantu mana-mana calon parti politik untuk berkempen.

“Awal-awal lagi saya dah nyatakan Pejuang tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya ini.

“Sebabnya kerana kita anggap ini adalah mainan politik, orang ini tidak serius dalam politik.

“Kita masuk dalam politik untuk berkhidmat kepada negara, majukan negara dan memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat tetapi mereka ini cuma masuk politik untuk dapat jawatan,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika kes harian Covid-19 dalam negara masih mencatat empat angka.

“Kita sedar berkenaan dengan pandemik Covid-19 dan kita tahu dalam pengalaman kita apabila diadakan pilihan raya di Sabah bilangan kes meningkat sampai 25,000.

“Kalau kita ada PRN Melaka ini kita khuatir akan ada lagi sekali gelombang besar,” jelasnya.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas Adun menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu), Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dr Mahathir berkata parti yang berjaya membentuk kerajaan selepas menang PRN Melaka tidak mustahil untuk digulingkan disebabkan permainan politik sesetengah pemimpin.

“Negara kita akan hancur kalau ada orang yang seperti ini, yang dengan mudahnya menjatuhkan kerajaan, mendirikan kerajaan, jatuhkan (semula) kerajaan seolah-oleh ini adalah permainan mereka.

“Sebab itu Pejuang tidak ingin terlibat dengan gejala seperti ini. Kita tidak akan ambil bahagian dan kita percaya walau siapa juga yang dipilih untuk mendirikan kerajaan keadaannya sama sahaja.

“Kerana mereka yang akan bertanding bukan berfikir tentang apa yang mereka boleh buat untuk memanjukan Melaka tetapi untuk mereka dapat jawatan,” katanya. – 25 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen