NEGARA mencatatkan 4,782 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes hari ini adalah yang terendah sejak 22 Jun yang ketika itu melaporkan 4,743 kes.
Hari ini juga hari ke-23 berturut-turut negara melaporkan kes harian kurang daripada 10,000. Pada 2 Oktober sebanyak 10,915 kes direkodkan.
Jangkitan baharu hari ini menjadikan kes kumulatif sebanyak 2,436,498 sejak pandemik melanda.
Pecahan kes mengikut negeri akan dikemas kini di laman web CovidNow Kementerian Kesihatan selepas tengah malam.
Sementara itu, lebih 23.76 juta orang atau 72.8% daripada jumlah penduduk telah divaksinasi sepenuhnya.
Sebanyak 124,530 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Daripada jumlah itu, 9,831 orang mendapat suntikan pertama, manakala 106,261 melengkapkan dua dos dan 8,438 orang menerima suntikan ketiga atau lebih dikenali sebagai dos penggalak.
Sebanyak 49,069,291 dos vaksin telah diberikan sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu. – 25 Oktober, 2021.
Komen