SIJIL kematian akan dikeluarkan kepada waris pada hari sama laporan dibuat, kata Hamzah Zainudin hari ini.
Menteri Dalam Negeri berkata perkara ini dibuat menggunakan sistem perkongsian pintar antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan polis.
“Rakyat tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan sijil kematian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
“Pengeluaran sijil kematian boleh dibuat pada hari yang sama kematian dilaporkan di balai polis.”
Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) menjadikan proses ini lebih lancar untuk keluarkan sijil kematian pada hari sama.
“Sistem SPDIM ini memudahkan proses pengesahan kematian yang melibatkan kematian tiada berunsur jenayah di rumah.
“Melalui sistem ini, JPN akan membuat pengesahan kematian ini secara dalam talian. Sekaligus mempercepatkan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris,” katanya.
Tambah Hamzah, peningkatan sistem ini juga merupakan salah satu daripada KPI 100 hari pertama bagi kementeriannya.
Minggu lepas beliau berkata SPDIM ini melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 30 September mengarahkan semua menteri kabinet membentangkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari masing-masing kepada pembayar cukai.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lepas menetapkan tempoh 100 hari pertama setiap menteri di bawah pentadbirannya bermula dari 1 September, iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan. – 25 Oktober, 2021.
Komen