Umno, BN dah lama tolak DAP, kata Zahid Hamidi


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional tetap konsisten menentang DAP serta tidak pernah berusaha memikat pengundi Melayu bagi menyokong parti pembangkag seperti yang dilakukan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

UMNO dan Barisan Nasional tetap konsisten menentang DAP serta tidak pernah berusaha untuk memikat pengundi Melayu bagi menyokong parti pembangkag seperti yang dilakukan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam catatan di Facebook, presiden Umno mengingatkan pengundi jika mereka bimbang DAP mendapat kuasa, mereka perlu memberikan kemenangan kepada BN dan Umno.

“Sejarah politik tanah air menyaksikan Umno dan BN parti politik yang teguh menolak idealisme DAP malah tidak pernah menjalin kerjasama politik dengan DAP dalam apa bentuk keadaan sekali pun.

“Jika benar bimbangkan DAP kembali berkuasa marilah memastikan kemenangan mutlak Umno dan BN. Dalam PRU14 lalu, Bersatu menghasut orang Melayu di kampung dan bandar mengundi DAP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Zahid berkata Bersatu meninggalkan DAP selepas sokongan rakyat khususnya orag Melayu kepada mereka merosot teruk.

Pemimpin UMNO/BN tidak pernah sanggup mengadakan sidang media secara ‘live’ merayu talian hayat DAP untuk kekal berkuasa.

“Umno, BN utuh mempertahankan kepentingan Melayu Islam tanpa mengenepikan hak kaum lain,” katanya.

Kenyataan Zahid dibuat selepas beliau mengatakan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata partinya akan bertanding di semua 28 kerusi di Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun berkenaan ialah Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) and Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen