Kerajaan arahkan siasatan Kertas Pandora


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan memanggil emua agensi berkaitan dan mengarahkan mereka melakukan siasatan kes Pandora Papers. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA akan mengarahkan agensi penguatkuasaan yang relevan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pendedahan mengenai kebocoran Kertas Pandora dalam jangka masa yang ditentukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

““Saya bagi jaminan, saya akan jemput semua agensi-agensi yang disebut SPRM, BNM, PDRM, dan pihak lain untuk memberi arahan daripada perdana menteri supaya penyiasatan dilaksanakan dan kita akan berbincang dan menentukan tarikh jawapan diberi kepada pihak Parlimen selepas keputusan didapati daripada penyiasatan itu nanti,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya SPRM juga sudah mula mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai pendedahan yang dibuat sebelum memulakan siasatan.

“SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan Bank Negara Malaysia untuk memastikan koordinasi siasatan berhubung perkara ini berjalan lancar,” tambahnya,” kata ahli Parlimen Santubong berkenaan. 

Wan Junaidi berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada laporan mengenai mana-mana individu.

Bagaimanapun Wan Junaidi menjelaskan memiliki akaun luar pesisir bukanlah pelanggaran undang-undang kecuali ada bukti kegiatan jenayah.

Beliau menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengenai usaha kerajaan memantau aliran keluar wang haram dan nilai dari 2008 hingga kini serta dalam memastikan kredibiliti dan integriti pentadbiran negara dilindungi.

Kertas Pandora merupakan pendedahan fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Pendedahan melibatkan lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell serta pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia. – 25 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen