WALAUPUN industri perhotelan menyaksikan peningkatan tempahan dan kadar hunian apabila rentas negeri dibuka semula, namun ia memerlukan masa sehingga dua tahun untuk pulih sepenuhnya daripada kesan ekonomi akibat Covid-19, kata pengusaha hotel.
Mereka menjangkakan industri perhotelan akan didominasi oleh pelancong tempatan dalam jangka pendek sebelum pelancong antarabangsa dibenarkan masuk tahun depan.
Setakat ini kerajaan belum menetapkan tarikh untuk membenarkan pelancong antarabangsa memasuki negara walaupun sekatan pelancongan dan pelancong tempatan dilonggarkan.
“Tanpa ketibaan pelancong antarabangsa, industri tidak akan pulih sepenuhnya,” kata Yap Ling Seng daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata ini kerana Malaysia mempunyai campuran pasaran 55% pelancong domestik dan 45% pelancong antarabangsa.
“Pasaran domestik akan menjadi dominan untuk setahun akan datang dan dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara berperingkat tidak lama lagi, industri bakal menerima tetamu antarabangsa sekali lagi pada 2022, pemulihan penuh akan mengambil masa sehingga dua tahun lagi selepas itu, dalam 2023 hingga 2024,” katanya.
Minggu lalu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri memberitahu rangkaian berita antarabangsa bahawa Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa pada November selepas hampir dua tahun sempadan ditutup kepada pelancong.
Larangan rentas negeri mula dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara diumumkan.
Ia ditarik semula beberapa bulan kemudian pada Jun apabila keadaan Covid-19 bertambah baik tetapi dikuatkuasakan semula pada awal Januari apabila jangkitan kembali meningkat.
Pada 11 Oktober, kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan antarabangsa selepas negara mencapai penunjuk utamanya iaitu 90% kadar vaksinasi dalam kalangan orang dewasa.
Yap berkata walaupun sebelum pengumuman dibuat, hotel di destinasi popular seperti Pulau Pinang, Perak, Genting Highlands dan Johor sudah mula menerima banyak tempahan.
Bagaimanapun katanya Sabah dan Sarawak masih berada dalam sekatan rentas negeri yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Kami belum menerima semua data tetapi sebelum pembukaan rentas negeri, rata-rata penghuniaan antara 20-25% secara keseluruhan dengan KL Sekitar 25% dan Pulau Pinang masih dalam angka satu digit.
“Dengan pembukaan semula, berdasarkan trend tahun lepas semasa PKP Pemulihan, purata penghuniaan keseluruhan dijangka meningkat kepada kira-kira 40%,” katanya.
Tidak dinafikan, industri pelancongan antara yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19.
Yap berkata, MAH menganggarkan kira-kira 120 hotel ditutup sama ada sementara atau kekal dan industri kehilangan lebih RM6.5 bilion pendapatan untuk 2020 dan kemungkinan RM9 bilion lagi setakat ini untuk tahun ini.
Hotel bajet rayu bantuan kerajaan
Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein memberitahu The Malaysian Insight mereka sudah menyaksikan peningkatan kadar penghuniaan di kebanyakan hotel resort.
“Hotel-hotel di Pulau Pinang, Ipoh dan Melaka juga melaporkan peningkatan kadar penghuniaan. Bagaimanapun hotel di Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kadar penghunian yang lebih perlahan,” katanya.
Katanya menjelang cuti perayaan Deepavali, banyak hotel sudah ditempah sepenuhnya dan banyak tempahan dibuat sepanjang cuti sekolah pada Disember.
Emmy berkata persatuan itu meramalkan kadar penghunian meningkat secara beransur-ansur sehingga April tahun depan.
Bagaimanapun disebabkan banyak hotel bajet tidak dapat beroperasi semasa PKP, mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu mereka kembali memulakan perniagaan.
“Persatuan itu memohon bantuan kerajaan bagi membantu pengusaha hotel menjelang Bajet 2022. Pemberian sekali, kesinambungan gaji subsidi dan pengecualian SST,” katanya. – 26 Oktober, 2021.
Komen