PENDUDUK yang terjejas akibat tanah runtuh di Bangsar malam tadi diberitahu untuk keluar dari rumah mereka, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata nasihat itu diberikan atas sebab keselamatan walaupun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
“Pemeriksaan awal dari pihak bomba dan penyelamat mendapati tanah runtuh berlaku di belakang rumah bernombor 43, 45 dan 47 di sepanjang Jalan Limau Purut. Tidak ada kematian atau kerosakan yang direkodkan tetapi penduduk dinasihatkan berpindah atas faktor keselamatan mereka sendiri,” kata Amihizam.
Namun, Amihizam berkata seorang pemilik rumah enggan meninggalkan rumahnya, menambah tanah runtuh disebabkan oleh hujan lebat pada waktu petang.
“Pihak polis dimaklumkan mengenai perkara ini oleh persatuan penduduk,” tambahnya.
Pagi ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) melakukan kajian dan pemeriksaan penuh terhadap kejadian tanah runtuh di Bangsar.
Hujan lebat petang semalam menyebabkan tanah runtuh berlaku di Jalan Lingkungan Negeri Sembilan dan Jalan Limau Purut Bangsar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam laporan awal berkata tanah runtuh itu berlaku sepanjang 40 meter pada 7 malam, semalam.
Fahmi memberitahu The Malaysian Insight yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memasang pelindung di kawasan terjejas dan Tenaga Nasional Berhad akan memindahkan kabel tenaga berhampiran kawasan kejadian.
“Kerja baik pulih akan bermula. Laporan penuh oleh Ikram akan mengambil masa 2-3 minggu dan saya sudah meminta kajian dan pemeriksaan penuh oleh Ikram disebabkan kekerapan tanah runtuh dan tanah mendap, infrastukrut perparitan dan air yang usang dan juga beberapa pembinaan yang sedang dijalankan berhampiran,” kata ahli Parlimen PKR itu.
Di Twitternya malam tadi, Fahmi menulis tentang kejadian itu yang dakwanya sudah kali kedua berlaku sejak beberapa bulan lepas.
Sementara itu, Amihizam mendedahkan polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya anggota dari balai polis Travers dikerahkan ke kawasan itu sebaik sahaja mendapat panggilan. – 24 Oktober, 2021.
Komen