VETERAN DAP Lim Kit Siang menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi penjelasan berkenaan angka sebenar kematian Covid-19 semalam.
Ini kerana walaupun laman web dikendalikan kementerian, CovidNow melaporkan 42 kematian semalam, laman web statistik bebas Worldometer pula meletakkan angka 222 kematian bagi tempoh sama.
“Saya keliru. CovidNow kata ada 42 kematian termasuk 10 kes kematian di rumah (BID) semalam, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 kepada 28,354 kes.
“Tetapi laman web Worldometer berkata 22 kematian Covid-19 dilaporkan di Malaysia, semalam menjadikan kumulatif 28,534 kes.
“Boleh menteri kesihatan jelaskan perkara ini?,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata angka 42 di laman web CovidNow akan menunjukkan ia angka terendah direkodkan kes kematian harian sejak lebih lima bulan.
Kali terakhir angka lebih rendah direkodkan ialah 38 kematian pada 13 Mei.
Bagaimanapun, katanya jika laman web Worldometer betul berkenaan 222 kematian semalam, Khairy perlu melakukan pembaharuan keada dasar dan strategi membanteras Covid-19.
Ini kerana jumlah kematian Covid-19 yang tinggi dalam tempoh lapan minggu Khairy sebagai menteri kesihatan, bermakna “kita menggunakan dasar dan strategi yang salah”, kata Lim.
Setakat ini belum ada maklum balas diterima daripada Khairy atau kementeriannya. – 24 Oktober, 2021.
Komen