42 lagi maut kerana Covid-19 semalam


Aminah Farid

Jumlah terkumpul kematian disebabkan wabak Covid-19 di Malaysia kini adalah 28,354 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

MALAYSIA melaporkan 42 kematian baharu disebabkan Covid-19 setakat tengah malam tadi, berkurangan daripada 78 kematian pada hari sebelumnya, lapor Kementerian Kesihatan.

Data daripada pangkalan data KKM, Git.hub menunjukkan yang kematian itu adalah kematian tertunda, bermakna tiada kematian sebenar berlaku semalam.

Daripada jumlah itu, 10 kematian direkodkan sebagai kematian dibawa ke hospital (BID).

Jumlah kematian harian adalah gabungan kematian sebenar pada hari sama dan kematian yang baharu disahkan pihak berkuasa disebabkan Covid-19 selepas siasatan dijalankan.

Dengan data terbaru itu, jumlah terkumpul kematian disebabkan wabak di Malaysia kini adalah 28,354 orang.

Sarawak terus merekodkan kematian harian tertinggi untuk lima hari berturut-turut, dengan semalam 17 kematian.

Negeri lain yang turut merekodkan kematian kerana virus adalah Terengganu, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang (1), Negeri Sembilan dan Johor (2), Perak (3), Sabah (4), Kelantan dan Selangor (5). 

Manakala Putrajaya, Labuan, Perlis, Melaka dan Kedah tidak melaporkan sebarang kematian semalam.

Kes aktif Covid-19 di Malaysia juga terus turun kepada 77,305 kes.

Daripada jumlah itu, 620 orang sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 297 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

59,687 pesakit lagi sedang menjalani kuarantin di rumah, 10,807 orang sedang berada di pusat kuarantin risiko rendah dan 6,191 orang sedang menerima rawatan di hospital.

Jumlah kes pulih di negara ini pula berjumlah 2.32 juta dengan 9,178 kes dilaporkan pulih semalam. – 24 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen