Diskriminasi atau tidak, kelebihan vaksinasi norma perangi Covid-19


Raevathi Supramaniam

Lebih 94% populasi dewasa di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

KAEDAH Malaysia untuk mengehadkan hak istimewa hanya untuk mereka yang diberi vaksin sepenuhnya terhadap Covid-19, yang menyebabkan kerajaan dikritik kerana diskriminasi, adalah norma di beberapa negara.

Tidak ada undang-undang yang memaksa orang yang menolak divaksin tanpa alasan perubatan munasabah kecuali kakitangan awam dan anggota tentera yang boleh menghadapi tindakan termasuk dipecat.

Bagi rakyat biasa bagaimanapun, mandat vaksin adalah dalam bentuk menafikan kelebihan bagi yang tidak divaksin atau sebahagian divaksin antaranya makan secara ‘dine-in’, perjalanan rentas negeri, penginapan di hotel, masuk ke tempat hiburan seperti panggung wayang dan berbelanja di kedai pakaian di pusat beli-belah.

Apabila ini mencetus reaksi tindak balas daripada mereka yang menolak vaksin tanpa alasan perubatan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terpaksa berkata, beliau akan ‘menyukarkan” kehidupan mereka yang enggan divaksin.

Pendekatannya, yang dianggap terlalu kasar oleh sesetengah kumpulan, menyebabkan beliau dilabel sebagai seorang pembuli.

Doktor juga meminta mereka yang ragu-ragu untuk divaksin supaya mengambilnya, mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab sosial mereka dan menyatakan ketika kesihatan awam terancam, vaksinasi tidak melanggar hak mereka.

The Malaysian Insight melihat lebih dekat mandat vaksin di negara lain dan persamaannya dengan Malaysia, yang hingga kini memberi vaksinasi lebih 71% daripada keseluruhan penduduknya dan lebih 94% daripada populasi dewasa.

Singapura

Jiran selatan Malaysia pada 13 Oktober memerlukan bukti vaksinasi Covid-19 sebelum memasuki tempat seperti kompleks beli-belah dan pejabat.

Mandat baharu itu hadir ketika negara pulau itu dengan populasi 5.9 juta mengalami gelombang baharu jangkitan Covid-19, dengan jangkitan kini sekitar 3,000 sehari.

Setakat ini, 82% daripada populasinya sudah divaksinasi.

Indonesia

Indonesia mempunyai pendirian lebih tegas mengenai vaksinasi, dengan denda hingga AS$474 (kira-kira RM1,900) dikenakan terhadap mereka yang enggan disuntik di Jakarta, ibu negaranya.

Negara keempat penduduk paling ramai di dunia itu dengan 270 juta populasi turut menjadikan vaksinasi Covid-19 sebagai mandatori sejak Februari tahun ini, dan mengenakan hukuman seperti menggantung bantuan kebajikan atau menangguhkan akses ke sesetengah kemudahan awam.

Di sebalik memulakan program vaksinasi pada pertengahan Januari, perkembangannya agak perlahan dengan hanya 23% daripada populasinya sudah menerima suntikan. – 24 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen