MALAYSIA merekodkan penurunan pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan daripada 322 kepada 297 orang setakat tengahari tadi, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Negara menyaksikan berlakunya penurunan pesakit memerlukan alat tersebut sejak beberapa hari lepas.
Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah terbaru itu, 229 disahkan positif Covid-19 dan baki 68 orang disyaki positif.
Jumlah kemasukan ke ICU juga berkurangan daripada 653 kepada 620, daripada jumlah itu 553 adalah positif Covid-19.
Dr Noor Hisham juga melaporkan seramai 9,178 pesakit disahkan pulih hari ini, menjadikan jumlah terkumpul kes pulih sebanyak 2,320,391 orang.
Daripada 5,828 kes baharu hari ini pula, majoriti kes sebanyak 5,731 adalah kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan), manakala 97 kes lagi adalah kategori lebih serius, 3 hingga 5.
Beliau turut melaporkan dua kluster jangkita, kedua-duanya berkaitan dengan tempat kerja.
Kluster terbaru itu menjadikan jumlah kluster aktif Malaysia sekarang kepada 557. – 23 Oktober, 2021.

Komen