KEMENTERIAN Sumber Manusia menafikan ia memberi elaun sara hidup di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia.
“Kementerian ini menafikan ada menawarkan bantuan di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk membantu menangani rakyat yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Mesej yang tular dalam talian adalah palsu dan kementerian menerusi HRD Corp tidak pernah menawarkan, menyokong mahupun terbabit dalam skim ini.”
Ia mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu dan sebaliknya merujuk kepada laman sesawang rasmi bagi melihat senarai bantuan yang boleh dipohon di bawah kementerian itu.
Dalam satu catatan Facebook, pihak yang tidak dikenali menyatakan kementerian itu memberikan wang sara hidup sebanyak RM1,000 untuk membantu menangani kesan wabak Covid-19.
Menurut hantaran itu, rakyat Malaysia dalam kategori berpendapatan rendah dan menganggur boleh memohon skim itu sebelum 23 November. – 23 Oktober, 2021.
Komen