PERU yang mempunyai kadar kematian Covid-19 per kapita tertinggi di dunia telah melepasi takat 200,000 kematian kerana koronavirus, kata kementerian kesihatannya semalam.
Kementerian mengumumkan 25 lagi kematian sejak 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian di negara Amerika Selatan itu meningkat kepada 200,003 sejak pandemik bermula pada Mac 2020.
Negara dengan 33 juta penduduk itu juga merekodkan 2.2 juta kes jangkitan.
Dengan 6,065 kematian per sejuta populasi, kadar kematian Covid di Peru adalah tertinggi di dunia, menurut data dikumpuln AFP.
Jumlah kematian itu dilaporkan ketika berlaku penurunan kes harian dan kematian disebabkan peningkatan vaksinasi, walaupun pihak berkuasa masih bimbang berlakunya gelombang jangkitan baharu disebabkan varian delta yang kini menular di negara itu.
Penurunan jangkitan membolehkan kerajaan melonggarkan beberapa sekatan sektor kesihatan awam dan membuka semula ekonomi.
Perintah berkurung malam hari juga dikurangkan kepada dua jam dan restoran dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.
Peru berada di kedudukan ketiga selepas Brazil dan Mexico dalam aspek jumlah kematian Covid-19, tetapi kedua-dua negara itu juga mempunyai jumlah penduduk lebih ramai.
Sebelum pandemik, ekonomi Peru adalah paling dinamik di rantau Amerika Latin tetapi pada 2020, KDNK jatuh 11% dan lebih 2.1 juta orang hilang pekerjaan.
Kadar kematian di Peru perlahan-lahan berkurangan sejak April apabila ketika itu ia merekodkan 2,500 kematian seminggu.
Minggu lepas, 169 orang terbunuh kerana Covid-19.
Pakar menyalahkan kelemahan sektor ekonomi tidak formal dan kesihatan awam yang menyebabkan jumlah kematian yang tinggi di negara itu.
Kerajaan meletakkan sasaran untuk 70% populasi berusia atas 12 tahun divaksin menjelang hujung tahun ini.
Lebih 14.2 juta orang sudah menerima vaksin, 51% daripada populasi berusia atas 12 tahun. – AFP, 23 Oktober, 2021.
Komen