Khairy ingatkan ahli politik pakai pelitup muka di tempat umum 


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2021.

RAKYAT Malaysia terutamanya ahli politik, perlu terus memakai pelitup muka di tempat umum, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi posting di Instagram, Khairy berkata beliau menyedari ramai rakannya tidak mengenakan pelitup muka pada mesyuarat.

Beliau juga berkata ramai ahli politik cenderung mempunyai komorbiditi yang bermaksud kesan lebih teruk jika mereka dijangkiti Covid-19.

“Semakin banyak rakan sekerja saya dilihat dalam gambar di mesyuarat tanpa pelitup muka.

“Ramai ahli politik menghidap diabetes, darah tinggi dan mungkin obesiti.

“Jika anda mendapat Covid-19, walaupun dengan vaksin, ia bukan perkara main-main,” katanya.

Tambah Khairy pemakaian pelitup muka mesti diteruskan walaupun divaksinasi, memetik United Kingdom sebagai contoh, yang mana walaupun kadar vaksinasinya tinggi, negara kini sedang mengalami satu lagi wabak Covid-19.

“Ini kerana sebahagian daripada mereka enggan pakai pelitup muka. Jangan jadi seperti UK. Tolong pakai pelitup muka,” katanya.

Walaupun lebih 68 peratus populasi di UK telah divaksin sepenuhnya terhadap Covid-19, terdapat 7,521 pesakit yang dirawat di hospital akibat virus berkenaan pada 20 Oktober, meningkat dari tiga digit pada bulan Mei.

Sementara itu di Malaysia, sejumlah 4,016 orang yang divaksin sepenuhnya dijangkiti Covid sejak tujuh hari lalu.

Pada masa ini, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka di luar rumah kecuali ketika bersenam atau makan di premis.

Sekiranya gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda RM1,500. – 23 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen